PM Britain umum ‘Pelan B’

LONDON, 21 Jan – Perdana Menteri Britain, Theresa May mengumumkan ‘Pelan B’ Brexit kepada parlimen hari ini selepas Wakil Rakyat membatalkan perjanjian perpisahan dari Kesatuan Eropah (EU), sekali gus memburukkan lagi kebuntuan politik 10 minggu dari hari pemisahan.

Britain akan meninggalkan Kesatuan Eropah pada 29 Mac tanpa satu perjanjian melainkan Wakil Rakyat boleh memaksa satu penangguhan atau bertindak tepat pada masanya dan mengemukakan satu pelan alternatif yang juga diterima oleh Brussels.

Ekonomi kelima terbesar dunia itu mungkin kehilangan keistimewaan dalam pasaran eksport terbesar semalaman, menjejas setiap sektor, justeru mendorong kepada kenaikan kos dan gangguan di pelabuhan Britain.

London dan Brussels telah menghabiskan dua tahun mengusahakan perjanjian perpisahan tetapi wakil rakyat di Dewan Rakyat parlimen menolaknya Selasa lalu.

Kerajaan May seterusnya berjaya memperoleh usul percaya Rabu lalu dan dijangka mengadakan rundingan dengan tokoh-tokoh daripada parti bersaingan.

Namun pemimpin pembangkang Jeremy Corbyn menjauhi perjanjian tersebut, berkata pemisahan ‘tanpa perjanjian’ mesti diketepikan terlebih dahulu, sesuatu yang dikatakan mustahil oleh May.

May bercakap kepada Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte dan Canselor Jerman, Angela Markel pada Khamis, dan pemimpin EU, Jean-Claude Juncker dan Donald Tusk menerusi telefon pada Jumaat untuk membincang hala tuju mengenai Brexit selepas ini.

Pemimpin EU setakat ini tidak mahu berunding semula perjanjian, tetapi telah memberi petunjuk mereka boleh menangguhkan penarikan diri sekiranya May mengubah ‘dasar merah’ beliau untuk meninggalkan kesatuan kastam EU dan menyekat pergerakan bebas rakyat.

Selepas May mengemukakan pelan beliau, penggubal undang-undang dijangka membentangkan beberapa siri pindaan, dijangka diundi pada 29 Januari. – AFP

Gambar fail pada 18 Januari 2019 menunjukkan Theresa May meninggalkan 10 Downing Street di pusat London. – AFP