PM China tepis tuduhan AS

BEIJING, 15 Mac – China ‘tidak’ akan meminta firmanya untuk mengintip negara lain, kata Perdana Menteri Li Keqiang hari ini, di tengah amaran Amerika Syarikat (AS) bahawa firma gergasi telekomunikasi China Huawei menimbulkan risiko keselamatan.

AS telah melancarkan satu kempen global untuk meyakinkan sekutu Barat supaya menyingkir teknologi 5G oleh Huawei disebabkan kebimbangan syarikat itu mungkin digunakan oleh Beijing untuk pengintipan.

Satu undang-undang yang baru-baru ini digubal oleh Beijing yang mewajibkan syarikat China membantu kerajaan dalam keselamatan negara telah menambah kepada kebimbangan.

Namun Perdana Menteri China, Li Keqiang berkata kerajaan tidak akan meminta mana-mana syarikat untuk mengintip bagi pihaknya.

“Tidak ada perkara seumpama itu, dan tidak akan berlakunya perkara seumpama itu pada masa akan datang,” beritahu Li kepada wartawan pada taklimat media sempena menandakan berakhirnya mesyuarat parlimen tahunan China.

“Ia tidak sejajar dengan undang-undang China, dan bukan cara China melakukan kerja.”

Kerajaan China menyuarakan sokongan pada minggu lalu terhadap satu tindakan guaman yang difail oleh Huawei ke atas AS berhubung undang-undang yang menghalang agensi persekutuan Amerika daripada membeli peralatan dan perkhidmatannya.

Washington pada minggu ini menambah tekanan ke atas sekutu Eropah supaya jangan menggunakan firma itu, mengugut akan memutuskan kerjasama risikan dengan Jerman sekiranya ia menggunakan peralatan Huawei.

Kanada menahan ketua pegawai kewangan Huawei, Meng Wanzhou, pada Disember atas permintaan AS berhubung dakwaan mencabul sekatan Iran. Dua warga Kanada, termasuk seorang bekas diplomat, telahpun ditahan di China dalam tindakan balas sejak itu. – AFP

Perdana Menteri, Li Keqiang berucap pada satu sidang media selepas menutup sesi mesyuarat parlimen tahunan China. – AFP