PM Fiji hadiahkan pasukan ragbi ‘pakej jutaan dolar’

SYDNEY, 6 OGOS – Pemenang pingat Olimpik ragbi tujuh sepasukan Fiji akan dianugerahkan hadiah ‘pakej jutaan dolar’ umum perdana menterinya hari ini tatkala dia memuji pasukan itu sebagai wira.

Semua pemain lelaki yang memenangi pingat emas akan menerima AS$15,915, sementara skuad wanita yang memenangi gangsa akan menerima AS$5,305 setiap seorang sebagai sebahagian daripada pakej itu, kata Perdana Menteri Frank Bainimarama.

“Mereka mewakili negara dengan keazaman dan kekuatan serta memberi inspirasi besar kepada seluruh negara,” kata Bainimarama dalam vi-deo yang dimuat naik di Facebook.

“Dan juara kami berhak mendapat semuanya yang kami mampu berikan.”

“Hari ini, saya mengumumkan pakej jutaan dolar sebagai penghargaan kepada hero Olimpik kita dan untuk menghadiahkan mereka atas segala pengorbanan dan kerja keras mereka.”

Pasukan lelaki menewaskan New Zealand minggu lalu untuk memenangi emas di Tokyo manakala pasukan wanita Fiji menewaskan Britain untuk membawa pulang gangsa.

Pakej ini juga akan merangkumi pembelian tanah dan dana rumah untuk kapten lelaki dan pemenang dua kali pingat emas, Jerry Tuwai.

Negara seramai 890,000 orang penduduk dengan lebih dari 330 pulau Pasifik itu kini meraih tiga pingat Olimpik, termasuk kemenangan pasukan lelaki di Sukan Rio 2016. – AFP

Anggota pasukan dan kakitangan Fiji ketika bergambar dengan pingat emas mereka di kejohanan ragbi lelaki tujuh sepasukan di Olimpik Tokyo 2020. – AP