NEW DELHI, 4 OKT – Perdana Menteri India, Narendra Modi semalam membuka sebuah terowong Himalaya yang akan mengurangkan masa yang diperlukan untuk membawa tentera ke sempadan terpencil China tatkala ketegangan meningkat di antara kedua-dua negara Asia itu.
Terowong itu merentasi negeri Himachal Pradesh di utara India dan terletak di salah satu daripada dua laluan untuk tentera menuju ke kawasan sempadan di Ladakh.
Dua puluh tentera India dan sejumlah tentera China terbunuh pada Jun semasa pertarungan di Ladakh, yang berkongsi sempadan dengan rantau Xinjiang dan Tibet.
Kedua-dua negara telah membawa puluhan ribu tentera dan senjata ke kawasan itu, dan telah dibelenggu perbalahan sengit berbulan-bulan lamanya.
Terowong sepanjang sembilan kilometer dan bernilai AS$400 juta itu akan mengurangkan perjalanan sebanyak 50 kilometer dan empat jam, membolehkan pengguna memintas laluan sukar di genting Himalaya yang mudah terdedah kepada runtuhan tanah.
Terowong itu, pada ketinggian lebih 3,000 meter, telah dialu-alukan sebagai satu kejayaan dalam bidang kejuruteraan.
Dibina selama satu dekad, suhu sejuk dan rupa bumi mencabar bermakna kerja-kerja pembinaan hanya boleh dilakukan selama enam bulan setahun.
Projek itu adalah sebahagian daripada usaha New Delhi untuk menyaingi kemajuan infrastruktur China di sempadan. Dalam tempoh enam tahun lalu, kerajaan Modi telah mempercepatkan beberapa projek sempadan termasuk jalan raya, jambatan dan lapangan terbang altitud tinggi. – AFP
































