PM Iran lawat India

NEW DELHI, 14 Mei – Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif tiba di New Delhi pada lewat malam semalam, dan dijangka bertemu dengan rakan sejawatan India Sushma Swaraj hari ini, kata sumber rasmi.

Ia merupakan lawatan kedua Zarif ke India pada 2019. Sebelum ini, beliau melawat dari 7 hingga 9 Januari dan bertemu dengan pemimpin India.

Mesyuarat kedua-dua menteri pada hari ini dianggap penting ekoran daripada perbalahan berterusan di antara Iran dan Amerika Syarikat (AS), dengan AS mengenakan sekatan ke atas eksport minyak Iran.

Beberapa minggu lalu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan bahawa Washington tidak lagi memberikan kekecualian sekatan kepada pelanggan minyak Iran.

Berakhirnya pengecualian tersebut bermakna India tidak boleh mengimport minyak dari Iran, atau entiti milik kerajaan atau swasta mereka akan menghadapi sekatan AS.

Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif (kiri), berbual dengan rakan sejawatan India Sushma Swaraj di New Delhi, India kelmarin. Lawatan Zarif ke New Delhi diadakan beberapa hari selepas Amerika Syarikat menamatkan pengecualiannya kepada India yang membenarnya membeli minyak dari Iran tanpa menghadapi sekatan Amerika. – AP

Dalam perbualannya bersama Sushma Swaraj, Zarif dijangka “menjelaskan” dasar Iran mengenai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama.

Lebih dikenali sebagai “Perjanjian Nuklear Iran”, yang merupakan satu perjanjian mengenai program nuklear Iran yang dicapai pada Julai 2015 oleh Iran, P5+1 (lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB – China, Perancis, Rusia, Britain dan Amerika Syarikat – serta Jerman), dan Kesatuan Eropah.

Setahun lalu, AS menarik diri daripada perjanjian itu, dengan Trump memberikan semua negara masa enam bulan (sehingga November 2018) untuk mengurangkan import minyak dari Iran kepada sifar.

Bagaimanapun, pada November, Washington memberikan pengecualian enam bulan kepada lapan negara, termasuk India, untuk mengurangkan import minyak kepada sifar. Tempoh pengecualian enam bulan berakhir pada 1 Mei.

India merupakan pembeli minyak kedua terbesar Iran. Minyak Iran memenuhi kira-kira 10 peratus daripada jumlah keperluan India. – Xinhua