PM Ireland umumkan parlimen tergempar

DUBLIN, 23 OGOS – Perdana menteri Ireland Micheal Martin mengumumkan hari ini beliau akan mengadakan sidang parlimen tergempar berikutan satu skandal berhubung ahli politik yang melanggar peraturan koronavirus, di mana beliau menggesa pesuruhjaya perdagangan Persatuan Eropah (EU), Phil Hogan meletak jawatan.

Martin dan rakan kerajaan gabungannya, timbalan perdana menteri Leo Varadkar dan menteri kabinet Eamon Ryan, ‘telah bersetuju parlimen Dail ha-rus diadakan semula,” kata jurucakap.

Berita itu keluar selepas krisis politik dua hari berikutan pendedahan bahawa sebahagian besar penggubal undang-undang dan ahli politik menghadiri majlis makan malam pertubuhan golf yang melanggar garis panduan koronavirus.

Akhbar Irish Examiner mendedahkan 82 tokoh terkenal, termasuk Hogan, seorang menteri kabinet dan hakim mahkamah agung, menghadiri makan malam Pertubuhan Golf Oireachtas pada malam Rabu.

Majlis itu diadakan 24 jam selepas kerajaan mengumumkan sekatan COVID-19 baharu untuk mengawal pe-ningkatan baharu dalam kes, termasuk tidak ada ‘acara atau parti formal atau tidak formal’ diadakan di restoran hotel.

Dilaporkan para hadirin pada majlis itu duduk di meja yang terdiri daripada 10 orang dan melanggar garis panduan koronavirus, dan penganjur mendirikan pemisah bilik dalam usaha untuk mengelak peraturan yang mengharamkan perhimpunan lebih daripada 50 orang.

Jurucakap kerajaan berkata permin-taan untuk mengadakan sidang parlimen akan dikemukakan kepada pengerusi dewan esok. – AFP