PM Itali letak jawatan

ROM, 26 JAN – Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte mengumumkan peletakan jawatannya berkuatkuasa hari ini, dipercayai dalam usaha untuk menubuhkan kerajaan baharu selepas pergolakan politik selama berminggu-minggu.

Pejabat Perdana Menteri mengesahkan Conte mengadakan mesyuarat kabinet dan memberitahu barisan mente-rinya mengenai hasrat untuk berkunjung ke Pejabat Presiden, Sergio Mattarella bagi menyampaikan rancangan peletakan jawatannya itu.

Media dalam laporannya menjangkakan Conte akan mendapatkan mandat baharu bagi membentuk kerajaan dalam mentadbir Itali yang sedang berperang dengan pandemik COVID-19.

Sehingga kini, lebih 85,000 rakyat di Itali terkorban akibat COVID-19, sekali gus melumpuhkan ekonomi negara itu.

Gabungan pakatan yang mentadbir Itali sebelum ini berdepan perpecahan sejak bekas Perdana Menteri, Matteo Renzi meninggalkan partinya, Italia Viva pada 13 Januari lalu.

Conte ‘bertahan’ dengan undi percaya di parlimen minggu lalu tetapi gagal mendapatkan majoriti di Senat, sekali gus menyebabkan kerajaan yang dibinanya adalah lemah.

Peletakan jawatannya dilakukan menjelang pemilihan utama reformasi kehakiman akhir minggu ini, di mana penganalisis berpendapat kerajaan berisiko berdepan kekalahan. Tidak lama selepas pengumuman itu, parti terbesar di Parlimen, Five Star Movement (M5S), mengumumkan pendirian mereka untuk menyokong Conte. – AFP

Gambar fail bertarikh 19 Januari menunjukkan Giuseppe Conte menyampaikan ucapan kepada senator di Palazzo Madama di Rom. Conte akan meletak jawatan hari ini untuk membentuk sebuah kerajaan baharu selepas krisis berminggu lamanya. – AFP