PM Jepun dalam misi reda ketegangan

TEHRAN, 12 JUN – Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe tiba di Tehran hari ini bagi misi diplomatik luar biasa, berharap untuk meredakan ketegangan antara republik Islam dan sekutu Tokyo, Washington.

Televisyen kerajaan menyiarkan rakaman mengenai Abe yang disambut di lapangan terbang Mehrabad, Tehran oleh Menteri Luar Negeri Iran, Javad Zarif. Abe yang menjadi perdana menteri Jepun pertama yang melawat Iran dalam masa 41 tahun itu dijangka akan terus mengadakan rundingan bersama Presiden Hassan Rouhani dan akan bertemu dengan pemimpin agung Iran, Ali Khamenei pada pagi esok.

Ketibaannya itu didahului dengan Menteri Luar Negeri Jepun, Taro Kono, yang mengadakan rundingan tertutup bersama Zarif.

Menyampaikan ucapan pada mesyuarat kabinet menjelang lawatan itu, Rouhani berkata para pemimpin Iran dan rakyat bersatu dalam pandangan mereka bahawa ‘pesalah utamanya adalah Amerika. Tidak diragui lagi.”

“Tekanan AS sudah mencapai kekuatan penuhnya,” ujarnya kepada kabinet.

“Di tengah-tengah kebimbangan memuncak di Timur Tengah bersama perhatian komuniti antarabangsa berhubung isu tersebut, Jepun berharap akan melakukan yang terbaik ke arah mencapai keamanan dan kestabilan di rantau itu,” Abe memberitahu para wartawan sebelum bertolak ke Tehran.

“Berdasarkan hubungan rapat sejak dulu lagi antara Jepun dan Iran, saya mahukan pertukaran pendapat yang terus terang bersama Presiden Rouhani dan pemimpin agung Khamenei ke arah meredakan ketegangan,” katanya.

Para pegawai kerajaan Jepun berkata Abe tidak akan memberikan Tehran dengan senarai permintaan mahupun menyampaikan mesej dari Washington, tetapi sebaliknya ingin memainkan peranan sebagai pengantara tanpa menyebelahi mana-mana pihak. – AFP

Perdana Menteri Shinzo Abe (dua, kiri) dialu-alukan oleh Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif (tiga, kiri) di lapangan terbang Mehrabad, Tehran pada 12 Jun. – AFP