TOKYO, 23 APRIL – Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba akan melawat Vietnam dan Filipina minggu depan, kata pegawai hari ini, ketika Tokyo berusaha memperkukuh hubungan serantau selepas serangan tarif oleh Donald Trump.
Lawatan dari 27 hingga 30 April ini menyusuli lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Asia Tenggara, dengan Beijing berusaha meletakkan dirinya sebagai alternatif yang stabil kepada Amerika Syarikat (AS) ketika para pemimpin berhadapan tarif yang dikenakan oleh Trump.
“Memperkukuh hubungan dengan Asia Tenggara, pusat pertumbuhan global dan lokasi strategik, adalah salah satu keutamaan utama diplomasi Jepun,” beritahu Setiausaha Kabinet Utama, Yoshimasa Hayashi, kepada wartawan.
“Hubungan dengan Vietnam dan Filipina adalah amat penting, dengan populasi mereka melebihi 100 juta dan pertumbuhan ekonomi mereka terus berkembang pesat.”
Xi minggu lalu mendesak Vietnam untuk bekerjasama dengan China bagi menentang penindasan unilateral dan menegakkan ke-stabilan sistem perdagangan bebas global.
Beberapa jam kemudian, Trump berkata lawatan Xi ke Hanoi bertujuan menipu AS.
Walaupun merupakan sekutu utama AS dan pelabur terbesar ke AS, Jepun telah terkesan dengan tarif tinggi yang dikenakan oleh Trump ke atas import kereta, keluli dan aluminium.
Beberapa syarikat Jepun, dilaporkan termasuk gergasi permainan video Nintendo, sedang memindah pengeluaran ke Vietnam dan negara jirannya, Kemboja, sebahagiannya disebabkan kesan perang perdagangan AS-China.
Satu kenyataan rasmi dari Manila mengatakan bahawa Ishiba akan melawat Filipina pada Selasa dan Rabu minggu depan. – AFP
