PM Jepun temui mangsa banjir

KURASHIKI, Jepun, 11 Julai – Perdana Menteri Jepun bertemu dengan mangsa-mangsa banjir hari ini yang telah mengorbankan kira-kira 179 orang, ketika kerajaan berkata ia akan mengkaji semula rancangan pengurusan bencananya.

Perdana Menteri Shinzo Abe telah membatalkan lawatan luar negeri yang dirancang minggu ini disebabkan bencana semakin memburuk dan bertemu dengan ribuan orang yang masih lagi berada di tempat perlindungan semasa lawatannya ke kawasan Okayama yang dibadai banjir.

Beliau tiada membuat kenyataan awam, hanya bercakap ringkas dan secara peribadi dengan beberapa individu, termasuk warga emas yang tunduk hormat ketika perdana menteri mendekati mereka.

Puluhan yang lain masih lagi hilang dan jumlah mangsa yang terlibat dalam bencana yang berkaitan cuaca paling buruk di Jepun dalam masa lebih tiga dekad itu dijangka akan meningkat.

Dengan persoalan memuncak tentang kenapa hujan terlalu teruk, jurucakap kerajaan atasan Yoshihide Suga berkata dasar pengurusan bencana akan dikaji semula.

Perdana Menteri Shinzo Abe (kanan) melawat sebuah tempat perlindungan bagi mangsa terjejas akibat banjir di Mabi, wilayah Okayama pada 11 Julai. – AFP

“Dalam beberapa tahun ini kita telah menyaksikan kerosakan akibat hujan lebat yang lebih buruk daripada tahun sebelumnya,” katanya.

“Kami perlu mengkaji semula apa yang kerajaan akan lakukan untuk mengurangkan risiko tersebut.”

Usaha menyelamat sudah dikurangkan, hampir seminggu selepas hujan bermula dan harapan untuk menemui mangsa-mangsa baru yang masih selamat telah berdepan kehampaan.

Lebih 10,000 orang masih lagi di tempat perlindungan di seluruh sebahagian besar kawasan tengah dan barat Jepun, kata media tempatan, termasuk di sebuah sekolah di bandar Kurashiki di wilayah Okayama.

Kira-kira 300 orang menghabiskan malam mereka di Sekolah Rendah Okada, kebanyakan mereka tidur beralaskan tikar biru yang dibentangkan di gim sekolah berkenaan.

Hiroko Fukuda, 40, yang berada di sana bersama suaminya telah menghantar anak perempuan mereka untuk tinggal bersama kaum keluarga lain selepas anak mereka itu menjadi tertekan dan tidak mahu makan akibat pemindahan tersebut.

Keluarga tersebut meninggalkan rumah mereka malam Jumaat lalu dan pulang pada Isnin dengan mendapati keseluruhan tingkat bawah rumah mereka telah ditenggelami air yang telah memusnahkan segala-galanya daripada barangan elektronik hingga gambar-gambar.

“Kami boleh menerima kehilangan benda-benda lain seperti peralatan rumah namun bukan kenangan-kenangan ini,” katanya sebak.

“Kami tidak akan memperoleh semula gambar-gambarnya pada umurnya tiga tahun,” katanya mengenai anak perempuannya itu.

“Ia sangat menyakitkan yang kenangan kami itu telah hilang.” – AFP