PHNOM PENH, 10 Mei – Perdana Menteri Kemboja Hun Sen mengingatkan hari ini bahawa beliau tidak akan teragak-agak untuk menumpaskan bantahan dengan kekerasan tentera sekiranya mereka bertukar menjadi ganas, sekali gus menambah ketegangan tatkala negara bersedia menghadapi pilihan raya.
Hun Sen sedang bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya tempatan pada Jun dan pilihan raya negara pada 2018 selepas bertindak keras ke atas tokoh pembangkang yang cuba mematahkan cengkaman kuasa beliau selama 32 tahun.
Amaran tersebut merupakan rujukan kepada bantahan pembangkang yang meletus ketika pilihan raya terakhir pada 2013, apabila orang ramai memusnahkan sekurang-kurangnya dua buah kereta polis disebabkan dakwaan penipuan pengundi.
Parti pembangkang Parti Menyelamat Nasional Kemboja (CNRP) juga menuduh Hun Sen memanipulasi pengundian dan memimpin bantahan berbulan-bulan lamanya berhubung keputusan pilihan raya.
Berpakaian dalam pakaian seragam tentera, Hun Sen memberitahu perhimpunan bekas tentera bahawa bantahan sedemikian tidak akan diterima kali ini.
“Ingat, dalam pilihan raya 2017 dan 2018, jika kumpulan anda melakukan aktiviti seumpama itu sekali lagi, anggota bersenjata akan bertindak keras ke atas mereka dengan serta-merta. Jika perang meletus, biarlah ia berlaku,” kata beliau.
“Saya masih menegaskan perang akan berlaku jika parti pemerintah Parti Rakyat Kemboja tidak berkuasa,” tambah beliau. – AFP