PRISTINA, 11 MEI – Perdana menteri sementara Kosovo Albin Kurti berkata hari ini beliau sedang menjalani pengasingan diri selepas seorang pegawai dalam kerajaannya ‘mempunyai kontak rapat’ dengan seorang individu yang diuji positif dijangkiti koronavirus. “Hari ini adalah hari pertama apabila saya tidak akan bekerja di Pejabat Perdana Menteri,” tulis Kurti, 44, dalam pos di laman Facebook beliau.
Tanpa menyatakan tempoh kuarantin, Kurti berkata beliau akan tinggal dalam pangsapurinya sehingga keputusan ujian diperoleh untuk pegawai dari Kementerian Perpaduan Eropah yang mempunyai kontak dengan orang yang dijangkiti.
“Sampel telah diambil dan kami sedang menunggu keputusan,” kata Kurti. Dengan sekatan ketat ke atas pergerakan dan tindakan awal untuk menutup aktiviti awam, Kosovo setakat ini berjaya mengelak ledakan wabak COVID-19 di kalangan 1.8 juta penduduknya. – AFP




























