PM Malaysia berdepan tekanan peletakan jawatan

KUALA LUMPUR,26 OKT – Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan desakan untuk mengundur diri dari politik hari ini selepas Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak cadangannya untuk pengisytiharan darurat yang dilihat pengkritik sebagai percubaan tidak demokratik untuk mengekalkan kekuasaannya.

Cadangan Perdana Menteri itu agar Yang Di-Pertuan Agong mengisytiharkan perintah darurat berikutan penularan wabak COVID-19 akan menyebabkan parlimen terpaksa digantung.

Yang Di-Pertuan Agong “berpendapat bahawa saat ini tidak perlu untuk Baginda mengisytiharkan perintah darurat di negara ini atau di mana-mana bahagian di Malaysia,” kata pihak istana kelmarin.

Kes koronavirus di Malaysia meningkat dua kali ganda kepada lebih dari 26,000 hanya dalam tiga minggu gelombang ketiga, terutamanya di negeri Sabah di pulau Borneo.

Ahli politik dari kedua-dia belah pihak serta pakar undang-undang dan perubatan mengatakan pengisytiharan darurat tidak perlu dan terdapat undang-undang yang mencukupi untuk mengekang pergerakan orang ramai serta menjatuhkan hukuman bagi siapa yang ingkar terhadap peraturan untuk memerangi virus tersebut.

Undang-undang darurat terakhir digunakan secara nasional pada tahun 1969 semasa rusuhan perkauman.

Dalam perkembangan hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan mesyuarat khas lebih dua jam bersama Jemaah Menteri di Perdana Putra di sini, susulan titah Yang Di-Pertuan Agong semalam yang menyatakan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini.

Muhyiddin yang tiba di Perdana Putra kira-kira 9:20 pagi bagi memulakan tugas hariannya, mempengerusikan mesyuarat khas berkenaan pada jam 11:30 pagi dan berakhir jam 2 petang. Sebaik mesyuarat khas itu berakhir, anggota Kabinet Barisan Nasional (BN) menuju ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bagi menghadiri pertemuan BN.

“Nak pergilah ni, dengarnya dah mula,” kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang baru-baru ini dilantik sebagai Bendahari BN. Usaha pengamal media untuk mendapatkan butiran mengenai mesyuarat itu daripada menteri-menteri yang hadir juga tidak berjaya. Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hanya menurunkan tingkap keretanya dan melambai kepada media tanpa memberi sebarang ulasan tentang intipati mesyuarat itu. – AP/Bernama

Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menghadiri sidang parlimen di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 13 Julai lalu. Perdana Menteri Malaysia itu berdepan desakan untuk mengundur diri dari politik selepas Agong menolak cadangannya untuk pengisytiharan darurat yang dilihat pengkritik sebagai percubaan tidak demokratik untuk mengekalkan kekuasaannya. – AFP