Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    PM M’sia ajak rakyat cipta sinar baharu pada 2022

    KUALA LUMPUR, 31 DIS – Setelah berhadapan pelbagai cabaran dan bergelut dengan pandemik COVID-19 di samping menghadapi bencana banjir, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak rakyat Malaysia mencipta sinar baharu bagi membina negara bangsa yang lebih baik pada 2022.

    Meminta rakyat Malaysia bersama-sama beliau dan kerajaan, Perdana Menteri berkata semua pihak harus membuat resolusi untuk meraikan persamaan dan mengetepikan perbezaan yang wujud bagi meneruskan agenda kemajuan negara.

    “Dengan ketibaan tahun 2022 ini, maka bermulalah lembaran baharu dalam kehidupan kita. Saya berdoa semoga tahun 2022 memberikan sinar baharu kepada Keluarga Malaysia,” katanya dalam perutusan tahun baharu yang disiarkan stesen-stesen televisyen, malam ini.

    Mengimbau situasi COVID-19 pada 2021, Ismail Sabri berkata wabak berkenaan menular sehingga mencapai rekod 24,599 kes harian dan mengakibatkan 393 kematian pada 26 Ogos.

    Namun, beliau berkata pelbagai langkah proaktif dilaksanakan kerajaan bersama rakyat telah membuahkan hasil apabila jumlah jangkitan mencatatkan penurunan sehingga sekitar 3,000 kes harian ketika ini.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap ketika Perutusan Khas Tahun Baharu 2022, semalam. – Bernama

    Bagaimanapun, katanya melihat kepada peningkatan kes semasa di negara seperti Amerika Syarikat, Perancis dan United Kingdom, selain kemunculan varian baharu seperti Omicron, kerajaan mengambil beberapa langkah tertentu untuk bersiap siaga bagi menghadapi sebarang penularan di negara ini.

    Tambahnya pada penghujung tahun pula, Keluarga Malaysia diuji dengan bencana banjir yang agak luar biasa dengan kehilangan 48 nyawa.

    “Di sebalik tragedi dan kesedihan, musibah banjir ini telah menyerlahkan semangat Keluarga Malaysia iaitu kebersamaan dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan pangkat.

    “Saya mengucapkan terima kasih kepada agensi-agensi keselamatan, kakitangan Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan serta individu-individu yang bertungkus lumus membantu dan menyelaraskan misi bantuan semasa banjir serta melakukan kerja-kerja pemulihan pasca banjir.

    “Begitu juga bantuan dan sumbangan daripada sektor korporat termasuk GLC dan GLIC. Anda semua adalah wira-wira yang tidak didendang. Syabas dan tahniah saya ucapkan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...