Tuesday, September 26, 2023
25.6 C
Brunei

    -

    PM M’sia dijangka serah surat letak jawatan hari ini

    KUALA LUMPUR, 15 OGOS – Pemimpin Malaysia akan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, esok, kata seorang menteri.

    Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berdepan tekanan memuncak untuk meletak jawatan selepas kehilangan majoriti parlimennya dan pengurusan pentadbirannya terhadap wabak koronavirus.

    Beliau telah membuat percubaan terakhir pada Jumaat dengan menggesa pihak pembangkang untuk menyokongnya sebagai pertukaran bagi reformasi institusi – namun tawarannya ditolak.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof memberitahu AFP yang Muhyiddin mengesahkan kepada ahli parlimen partinya semasa mesyuarat di Kuala Lumpur hari ini yang beliau akan menyerahkan surat peletakan jawatannya.

    “Beliau akan mengadakan mesyuarat kabinet terakhir esok (Isnin), kemudian akan menuju ke istana untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya,” kata menteri di jabatan perdana menteri.

    Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, berkata peletakan jawatan itu adalah jalan terakhir diambil berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

    “Kita bertanggungjawab dengan keadaan yang berlaku hari ini. Kita sudah usaha yang terbaik untuk memastikan pengurusan COVID-19 berjalan dengan baik dalam pergolakan politik yang melanda.

    “Kita sudah sampai ke tahap tidak boleh buat apa-apa pun… yang terakhir ialah strategi bipartisan, namun tidak disambut. Jadi kita kena letak jawatan… kita sudah usaha yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

    Terdahulu, beliau berkata, mesyuarat di Publika pagi tadi adalah antara Muhyiddin dengan ahli Parlimen daripada BERSATU dan mereka yang menyokong Perikatan Nasional (PN). – AFP/Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Jepun lulus ubat Alzheimer oleh Eisai & Biogen

    TOKYO, 26 SEPT - Kementerian kesihatan Jepun pada kelmarin meluluskan pengeluaran dan penjualan ubat untuk penyakit Alzheimer yang dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal Jepun Eisai...