PM NZ beri amaran jumlah kes Delta akan bertambah

WELLINGTON, 18 OGOS – Penduduk New Zealand terpaksa bersedia untuk menjalani perintah sekatan selepas sembilan lagi kes positif COVID-19 telah dikesan di negara itu.

Perdana Menteri Jacinda Ardern berkata New Zealand berdepan dengan varian Delta yang mudah berjangkit yang berkaitan dengan penularan di Australia yang pihak berkuasa setakat ini belum dapat membendungnya.

Ardern berkata peningkatan pantas itu membawa jumlah keseluruhan kes kepada 10, mewajarkan keputusannya untuk mengeluarkan arahan berkurung di rumah kelmarin apabila hanya satu kes telah dikenal pasti.

“Ini menunjukkan, perintah penutupan pada tahap 4 (penutupan ketat) adalah langkah yang tepat,” kata Ardern kepada TVNZ.

Ardern berkata, salah satu kes baharu membabitkan seorang jururawat di Hospital Auckland dan seorang lagi adalah guru di sebuah sekolah menengah, kedua-duanya menunjukkan persekitaran berisiko tinggi dalam menyebarkan virus itu.

“Kita mungkin menjangkakan lebih banyak lagi,” katanya ketika para pegawai mendedahkan ramalan yang mungkin sudah ada kira-kira 120 kes dalam komuniti berkaitan dengan kluster itu.

Kes pertama membabitkan seorang lelaki berusia 58 tahun dari Auckland, sekali gus menamatkan tempoh enam bulan tanpa penularan dalam komuniti di New Zealand, yang hanya mencatatkan 26 kematian akibat pandemik itu daripada lima juta populasi di negara ia menular tahun lalu. – AFP