PM Pakistan tawar jadi pengantara

ISLAMABAD, 8 Nov – Perdana Menteri Pakistan Imran Khan menawarkan diri untuk menjadi pengantara bagi menamatkan konflik di Yaman, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pejabat perdana menteri itu.

Khan berkata demikian ketika bertemu Duta Yaman Mohammed Motahar Alashabi, yang melakukan kunjungan hormat ke atas beliau, semalam.

Beliau berkata Pakistan akan terus menyokong pemulihan kerajaan sah Presiden Abdrabbuh Mansour Hadi dan berhasrat “memainkan peranan untuk membawa semua pihak yang terlibat dalam konflik ke arah satu penyelesaian politik.”

“Konflik di Yaman menjejaskan keamanan serta kestabilan serantau dan tiada penyelesaian tentera dapat merungkainya,” kenyataan itu memetik Khan sebagai berkata kepada duta Yaman tersebut.

Menegaskan bahawa semua pihak perlu terlibat dalam dialog, perdana menteri itu turut menggesa agar saluran dibuka bagi membolehkan bantuan kemanusiaan diberikan kepada mereka yang menderita akibat kebuluran di Yaman.

Presiden Imran Khan semasa menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Ekspo Import Antarabangsa China yang pertama di Shanghai pada 5 November lalu. – AFP

Beliau juga menyeru agar usaha lebih bersepadu dan selaras dilakukan di peringkat global bagi meringankan penderitaan rakyat Yaman serta memasti-kan mereka selamat kembali ke kediaman masing-masing.

Khan memberi jaminan kepada duta itu berhubung sokongan padu Pakistan untuk resolusi awal dalam konflik tersebut, berdasarkan Resolusi 2216 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC), yang menuntut puak Huthi berundur dari semua kawasan yang telah ditawan semasa konflik terkini, melepaskan senjata yang dirampas daripada tentera dan institusi keselamatan, menghentikan semua tindakan yang tergolong secara eksklusif dalam kuasa kerajaan sah Yaman serta melaksanakan sepenuhnya resolusi-resolusi terdahulu UNSC.

Beliau berharap persengketaan dapat dihentikan lebih awal bagi merintis jalan ke arah keamanan berkekalan di Yaman, yang merupakan kunci kepada keamanan serantau dan global.

Terdahulu, Menteri Luar Pakistan Shah Mahmood Qureshi memaklumkan Senat bahawa Khan telah menawarkan diri untuk memainkan peranan sebagai pengantara bagi menyelesaikan konflik Yaman dan inisiatif beliau itu telah disambut baik oleh semua pihak yang terlibat.

Beliau berkata Pakistan tidak pernah bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada sebarang konflik di Timur Tengah. – Bernama