PM Pakistan tiba di Iran

TEHRAN, 13 OKT – Perdana Menteri Imran Khan melawat Iran hari ini selepas Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi meminta beliau membantu meredakan kemelut yang meningkat di Teluk.

Pejabat Khan berkata lawatannya adalah sebahagian daripada inisiatif ‘untuk mempromosi keamanan dan keselamatan di rantau,’ dan beliau akan mengadakan rundingan dengan pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei dan Presiden Hassan Rouhani.

Khan mendarat di Tehran dan disambut di lapangan terbang oleh Menteri Luar Mohammad Javad Zarif sebelum mengadakan mesyuarat dengan Rouhani, lapor wartawan AFP.

Ia merupakan lawatan kedua beliau pada tahun ini ke Iran, yang berkongsi sempadan kira-kira 1,000 kilometer dengan Pakistan.

Pada minggu lalu, seorang jurucakap pejabat luar Pakistan berkata Khan juga dijangka berkunjung ke Arab Saudi, tanpa memberikan butir lanjut.

Khan berkata pada bulan lalu bahawa AS dan Arab Saudi telah meminta beliau supaya menjadi perantara dengan Iran untuk meredakan ketegangan di Teluk.

Berlakunya beberapa siri serangan yang masih belum dijelaskan ke atas perkapalan di jalan laut penting yang membabitkan Iran dan kuasa Barat, serta serangan dron ke atas infrastruktur minyak Saudi.

Washington menuduh Tehran menyerang kapal dengan periuk api dan berada di sebalik serangan dron, sesuatu yang disangkal Tehran. – AFP

Gambar yang dikeluarkan oleh laman web rasmi pejabat Presiden Iran menunjukkan Hassan Rouhani (kanan) dan Imran Khan berjabat tangan untuk media sebelum mesyuarat mereka di Istana Saadabad di Tehran, kelmarin. – AP