PM Perancis jalani ujian COVID-19

PARIS, 8 SEPT – Perdana Menteri Perancis, Jean Castex akan menjalani ujian COVID-19 selepas menghabiskan masa hujung minggu beliau bersama ketua perlumbaan berbasikal Tour de France yang disahkan positif dijangkiti virus, menurut kenyataan dari pejabat beliau hari ini.

Castex pada ketika itu berada di dalam kereta pengarah Tour de France, Christian Prudhomme yang turut mengikuti perlumbaan kelapan pada Sabtu lalu. Prudhomme, yang tidak menunjukkan sebarang gejala, mesti meninggalkan perlumbaan pada minggu ini untuk menjalani pengasingan diri.

“Perdana menteri akan sekali lagi menjalani ujian,” menurut pejabat Castex, menegaskan kedua-dua mereka memakai penutup mulut dan hidung dan mengamalkan penjarakan fizikal.

Presiden Emmanuel Macron memberitahu bahawa perjumpaan mingguan kabinet pada Rabu mungkin akan ditunda atau diadakan menerusi konferensi video.

“Kami mengamalkan apa yang kami laksanakan kepada penduduk kami jika mereka bersentuhan dengan seseorang yang dijangkiti oleh COVID-19,” kata Macron. – AFP

Perdana Menteri Perancis, Jean Castex akan menjalani ujian COVID-19 selepas beliau dilihat bersama ketua perlumbaan berbasikal Tour de France yang disahkan positif dijangkiti virus. – AFP