MADRID, 19 Jun – Perdana Menteri baharu Sepanyol, Pedro Sanchez berkata dia akan pergi ke Paris Sabtu ini untuk bertemu dengan Presiden Emmanuel Macron dan juga merancang untuk pergi ke Jerman dan mungkin juga ke Portugal.
Dalam temu bualnya yang pertama sejak menjadi perdana menteri pada 2 Jun lalu, pemimpin Sosialis itu juga mengumumkan semalam bahawa ‘lawatan rasminya’ yang pertama adalah ke Maghribi, mungkin pada separuh kedua tahun ini, kerana secara tradisinya Rabat adalah merupakan destinasi pertama bagi mana-mana pemimpin Sepanyol yang baharu.
“Saya mengumumkan bahawa saya akan mengadakan lawatan perundingan dengan rakan-rakan Eropah di Berlin, di Paris, dan diharapkan juga di Portugal, yang juga diperintah dengan pemerintahan Sosialis,” kata Sanchez semalam.
“Peringkat pertama akan diadakan Sabtu depan dengan presiden Republik Perancis (Macron) di Paris,” katanya.
Sanchez akan makan tengah hari di Istana Elysee diikuti dengan sidang media, menurut pejabat presiden Perancis itu.
Perancis telah menawarkan untuk mengambil beberapa daripada 630 pendatang yang diselamatkan oleh kapal Aquarius yang tiba di Sepanyol pada hujung minggu lalu, selepas ditolak oleh Itali dan Malta.
Walaupun beberapa negara Kesatuan Eropah telah mengguna pakai garis pandu keras terhadap pelarian, kerajaan Sosialis baharu Sepanyol itu telah mengumumkan beberapa langkah untuk membantu pendatang sejak berkuasa pada awal bulan ini, dalam perubahan dasar daripada pendahulunya yang lebih konservatif. – AFP