PM Sweden letak jawatan November

STOCKHOLM, 22 OGOS – Perdana Menteri Demokratik Sosial Sweden, Stefan Lofven berkata hari ini beliau akan meletak jawatan pada November untuk memberikan masa kepada pengganti untuk bersiap sedia dalam menganjurkan pilihan raya umum negara pada September 2022.

Lofven dikembalikan jawatan sebagai perdana menteri oleh parlimen pada awal Julai beberapa minggu selepas disingkirkan dalam undi tidak percaya bersejarah.

Beliau memberitahu rapat politik hari ini bahawa beliau akan ‘meninggalkan jawatan saya sebagai pengerusi parti pada kongres parti pada November dan selepas itu juga meletak jawatan sebagai perdana menteri.’

Lofven, 64, telah menyandang jawatan pemimpin parti selama hampir 10 tahun dan sebagai perdana menteri sejak 2014.

“Segala-galanya perlu berakhir dan saya ingin memberikan pengganti saya peluang terbaik mungkin,” kata beliau.

Bekas pengimpal dan ketua kesatuan itu telah memimpin kerajaan minoriti yang lemah bersama Parti Hijau sejak tiga tahun lalu, bergelut untuk mencari gabungan berikutan pilihan raya yang berakhir tanpa keputusan pada September 2018.

Pengumuman peletakan jawatan beliau merupakan satu kejutan kerana Lofven sebelum ini memberi petunjuk beliau mahu memimpin parti dalam kempen pilihan raya akan datang.

Namun Ewa Stenberg, pengulas politik di akhbar Sweden, Dagens Nyheter, berkata ia merupakan satu keputusan yang bijak.

Masih tidak diketahui siapa yang akan mengganti Lofven sebagai ketua parti, walaupun Stenberg dan pengulas politik lain meramalkan Menteri Kewangan Magdalena Andersson merupakan calon paling popular. – AFP

Gambar fail menunjukkan Perdana Menteri SwedenStefanLofven mengadakan sidang media mengenai situasi COVID-19 di ibu pejabat kerajaan di Stockholm, Sweden.Lofven berkata beliau akan meletak jawatan pada November ini. – AFP