PM Thai batal dekri kecemasan

BANGKOK, 22 OKT – Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha hari ini membatalkan perintah darurat yang bertujuan untuk menghentikan perhimpunan prodemokrasi meskipun ia gagal untuk mematahkan bantahan harian yang menuntutnya untuk meletak jawatan dan reformasi sistem monarki negara tersebut.

Gerakan prodemokrasi diketuai pelajar telah meraih momentum sejak pertengahan Julai, dengan kebanyakan penunjuk perasaan terutamanya belia menggesa pemecatan perdana menteri dan meminda perlembagaan bertulis tentera 2017.

Beberapa pemimpin gerakan protes itu turut menuntut proses reformasi ke atas sistem monarki yang dilihat berkuasa dan mewah yang pengaruhnya meresap setiap aspek dalam masyarakat Thailand.

Perintah darurat yang ‘ketat’ dikenakan minggu lalu selepas penunjuk perasaan antipemerintah memberikan isyarat tiga jari kepada kenderaan diraja – cabaran yang belum pernah terjadi sebelumnya kepada sistem monarki di negara itu.

Namun larangan mengadakan perhimpunan membabitkan peserta lebih dari empat yang dikuatkuasakan di negara itu gagal mencegah puluhan ribu penunjuk perasaan yang berkumpul setiap hari di sekitar persimpangan utama Bangkok, mendesak Prayut berundur.

Bekas ketua tentera itu yang mendalangi rampasan kuasa 2014 dan sejak itu berkuasa dilihat semalam bersiap sedia untuk melaksanakan perintah darurat yang lebih ketat.

Prayut dalam siaran televisyen kerajaan kelmarin menyatakan negara itu perlu “berundur daripada pinggir lereng licin yang boleh mencetuskan huru-hara”.

Beliau juga menyeru bagi sesi parlimen tergempar untuk membincangkan krisis tersebut yang mana akan diadakan pada Isnin ini. – AFP

Gambar dari rakaman video Thai TV Pool pada 21 Oktober menunjukkan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha ketika menyampaikan ucapannya di Bangkok. – AFP