BANGKOK, 26 APRIL – Perdana Menteri Thailand telah didenda kerana tidak memakai penutup mulut dan hidung hari ini selepas sekatan baharu COVID-19 dikuatkuasakan bagi mencegah penularan wabak di negara itu.
Memakai penutup mulut dan hidung kini wajib di tempat awam di 49 wilayah dan bandar Bangkok – di mana penularan baharu telah dikesan di kawasan kelab malam.
Beberapa lokasi telah menyokongnya dengan mengenakan denda sebanyak AS$640.
Selepas gambar Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha tidak memakai penutup mulut dan hidung semasa menghadiri mesyuarat tular dalam media sosial hari ini, gabenor Bangkok berkata perdana menteri telah didenda sebanyak AS$190.
“Sebagai gabenor Bangkok, saya memfailkan aduan ke atas perdana menteri yang menerima denda tersebut,” kata Gabenor Aswin Kwanmuang dalam Facebooknya.
Sekitar 2,048 kes baharu telah diumumkan hari ini. Sehari sebelumnya, Thailand merekodkan jumlah kematian sehari paling tertinggi dengan 11 kematian.
Sehingga penularan terbaharu ini, Thailand berjaya mengekalkan jangkitan disebabkan sekatan perjalanan ketat dan tindakan pantas mengasingkan kes-kes yang disahkan.
Namun terdapat aduan tentang pemberian lambat vaksin dengan kerajaan itu berada di belakang daripada negara-negara lain di rantau itu.
“Ia adalah kegagalan dalam pengurusan dari kementerian kesihatan,” kata pengurus restoran, Pracha berusia 61 tahun.
Perdana Menteri Prayut dalam Facebooknya mengatakan kerajaan cuba untuk mendapatkan lebih banyak dos vaksin dan meningkatkan program menginokulasi 300,000 orang dalam sehari.
Selain mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidung, pihak berkuasa di bandar itu telah menutup beberapa tempat termasuk pawagam, taman, gim, kolam renang, spa dan pusat tadika.
Sekatan baharu itu muncul seminggu selepas bar dan kelab malam diarah tutup dan restoran ditegah daripada menghidangkan minuman keras. – AFP