PM Thai enggan letak jawatan

BANGKOK, 16 OKT – Perdana menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha hari ini menolak desakan untuk meletak jawatan, tatkala kerajaannya gagal meredakan demonstrasi oleh penunjuk perasaan yang dipimpin pelajar di ibu kota negara itu.

Lebih daripada 1,000 penunjuk perasaan berkumpul untuk menuntut reformasi demokratik termasuk menggesa peletakan jawatan Perdana Menteri Thailand, pindaan perlembagaan dan reformasi monarki negara itu.

Demonstrasi tersebut memasuki hari kedua ketika anggota keselamatan mengarahkan mereka untuk bersurai, yang menyaksikan para penunjuk perasaan merosakkan harta benda dan bangunan kerajaan , satu tindakan yang belum pernah berlaku di negara itu.

Polis sebelum ini menutup jalan dan mengenakan sekatan di sekitar persimpangan utama Bangkok di mana kira-kira 10,000 penunjuk perasaan menentang arahan terbaharu itu kelmarin.

Polis dengan peralatan rusuhan berusaha untuk mengawal kawasan itu, sementara pusat membeli-belah yang pada kebiasaannya sibuk ditutup lebih awal.

Stesen transit yang berdekatan juga ditutup untuk mengekang perhimpunan itu daripada terus berleluasa. Kerajaan Prayuth kini mengisytiharkan keadaan darurat baharu untuk ibu kota itu.

Keadaan darurat itu melarang perhimpunan awam lebih dari lima orang dan penyebaran berita yang dianggap mengancam keselamatan negara. – AP

Penunjuk perasaan pro-demokrasi semasa tunjuk perasaan antikerajaan di Bangkok selepas Thailand mengisytiharkan keadaan darurat, kelmarin. – AFP