Thursday, October 10, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Thailand gariskan dasar komprehensif majukan negara

    BANGKOK, 12 SEPT – Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra menyampaikan ucapan dasar komprehensif di parlimen hari ini, yang menggariskan dasar segera bagi memupuk perpaduan dan kedamaian dalam masyarakat serta menangani masalah ekonomi negara.

    Paetongtarn, yang juga pemimpin Parti Pheu Thai menegaskan bahawa kerajaan akan segera menangani isu-isu seperti hutang isi rumah yang tinggi, peningkatan kos sara hidup dan pendapatan yang ketinggalan bagi mengembalikan harapan kepada rakyat Thailand secepat mungkin.

    Beliau turut menggariskan rancangan jangka panjang kerajaan untuk meletakkan asas bagi masa depan negara, termasuk menarik pelaburan asing dalam pengeluaran kenderaan elektrik (EV), mempromosikan budaya kreatif, membangunkan ekonomi digital dengan menarik pelaburan daripada syarikat asing atau tempatan bagi membangunkan atau menempatkan pusat data dan kilang pembuatan semikonduktor serta mewujudkan rangka kerja bagi kecerdasan buatan (AI) dan sistem ekonomi hijau.

    “Fokus utama lain termasuk menjadikan Thailand sebagai hab kewangan global, mengembangkan ekonomi kesihatan dan perubatan, menambah baik infrastruktur, memupuk penyelidikan dan inovasi, mewujudkan hab logistik dengan infrastruktur pengangkutan berskala besar serta memajukan projek Land Bridge,” katanya dalam ucapan sulungnya di parlimen.

    Paetongtarn turut mengetengahkan cabaran ekonomi seperti pertumbuhan yang rendah berbanding potensi, hutang kronik, ketidaksamaan yang semakin meningkat serta isu alam sekitar, sosial dan politik.

    “Semua ini merupakan cabaran yang bersedia dihadapi oleh kerajaan melalui kerjasama dengan semua sektor untuk mengubahnya menjadi harapan, peluang dan kesaksamaan bagi setiap kumpulan masyarakat,” katanya.

    Beliau menekankan komitmen kerajaan untuk meningkatkan keupayaan rakyat dan mewujudkan peluang bagi mereka mengatasi masalah mendesak negara.

    Perdana menteri itu turut berkata kerajaan sedia ada akan melaksanakan langkah-langkah rangsangan ekonomi jangka pendek, sambil menegaskan bahawa Skim Dompet Digital benar-benar akan memberikan manfaat kepada rakyat terutama golongan rentan, yang akan menerima subsidi pertama untuk mengurangkan beban kewangan dan meningkatkan peluang pendapatan. – Bernama

    Paetongtarn ketika membaca kenyataan dasar di parlimen di Bangkok, Thailand, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda