BANGKOK, 12 DIS – Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra memperingati 90 hari pertama pentadbirannya dengan melancarkan wawasan berani di bawah kempen 2025 Empowering Thais: A Real Possibility.
Paetongtarn menegaskan komitmen kerajaan pimpinannya untuk berkhidmat kepada rakyat dan membina sebuah negara yang membolehkan warganya berkembang dengan bermaruah dan makmur.
“Misi kami adalah untuk memperkasakan rakyat, mendekatkan kuasa kepada mereka, dan mewujudkan sebuah negara dengan setiap orang mempunyai peluang untuk maju dengan bermaruah.
“Bersama-sama, kita akan menjadikan 2025 sebagai tahun kemajuan dan harapan, yang meletakkan asas untuk dekad yang lebih cerah,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di saluran NBT 11, hari ini.
Beliau turut menggariskan usaha menangani enam cabaran struktur kritikal yang dihadapi negara, dengan pengurusan air dikenal pasti sebagai keutamaan utama.
Antara inisiatifnya adalah menangani masalah banjir dan kemarau melalui kerjasama awam-swasta, mendalamkan terusan serta meneroka projek besar laluan banjir untuk penyelesaian yang mampan.
Paetongtarn juga menekankan komitmen kerajaan untuk mengatasi pencemaran udara dengan penguatkuasaan undang-undang antipembakaran yang lebih tegas, perundingan rentas sempadan bagi menangani jerebu rentas sempadan dan memperkenalkan Akta Udara Bersih yang baharu. – Bernama