PM Thailand tidak akan berundur meskipun didesak

BANGKOK, 28 OKT – Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha kelmarin berkata tidak akan berundur meskipun terdapat desakan oleh parti-parti pembangkang pada sesi parlimen khas. Sesi itu diadakan bagi membincangkan protes yang sedang berlangsung, menuntut perubahan politik selain mahu Perdana Menteri meletak jawatan.

“Negara sedang berdepan masalah. Saya tidak akan lari daripada masalah. Saya akan terus bekerja,” katanya pada sidang khas itu yang berakhir 10 malam (waktu tempatan) Selasa.

Prayuth meminta sesi parlimen khas diadakan bagi membincangkan tunjuk perasaan yang sudah berlarutan selama berbulan-bulan.

Sementara itu, Prayuth bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa dianggotai semua pihak termasuk perwakilan gabungan pemerintah dan kumpulan penunjuk perasaan dalam usaha mengakhiri ketegangan politik yang kian memuncak di negara ini.

Beliau mengingatkan kumpulan penunjuk perasaan supaya tidak mengheret negara lain ke kancah urusan dalaman kerajaan.– Bernama

Penyokong setia diraja memegang potret Raja Maha Vajiralongkorn Thailand dan Permaisuri Suthida semasa perhimpunan menunjukkan sokongan kepada kerabat diraja di Bangkok pada 28 Oktober. – AFP