PM UK bakal lancar pelan obesiti

LONDON, 26 JULAI – Perdana Menteri Britain Boris Johnson dijangka melancarkan kempen anti-obesiti berjumlah 10 juta pound, termasuk pengharaman iklan makanan ‘junk’, berikutan pengalamannya yang nyaris maut yang dipersalahkan atas berat badannya.

Johnson akan mengumumkan kempen ‘Kesihatan Lebih Baik’ esok, yang dijangka termasuk menggalakkan doktor supaya mengeluarkan ‘preskripsi berbasikal’ untuk pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan, lebih banyak lorong berbasikal dan pengharaman ke atas iklan televisyen makanan ‘junk’ sebelum pukul 9 malam, menurut laporan media.

“COVID-19 telah memberikan kami peringatan tentang risiko jangka pendek dan panjang masalah berat badan berlebihan, dan Perdana Menteri menegaskan kami mesti menggunakan saat ini untuk menjadi lebih sihat, lebih aktif dan makan dengan lebih baik,” kata jurucakap kerajaan hari ini.

“Kami akan menggesa orang awam menggunakan saat ini untuk menilai cara mereka hidup, dan mengambil langkah mudah untuk mengurangkan berat badan, hidup lebih sihat serta mengurangkan tekanan ke atas NHS.”

Restoran juga perlu menyiarkan jumlah kalori dalam makanan yang mereka hidangkan, menurut laporan dalam Daily Mail.

Johnson, yang bergelut untuk mengawal berat badannya, memerlukan rawatan intensif pada April selepas dijangkiti COVID-19.

Pelan itu, yang dianggarkan oleh Guardian akan menelan kos 10 juta pound, menandakan perubahan dasar oleh Perdana Menteri, yang mengecam obesiti telah menambah risiko kematian akibat koronavirus sebanyak 40 peratus. – AFP