Saturday, October 5, 2024
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    PMB inisiatif beriga usaha kerajaan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Seramai 40 orang penduduk Kampung Tanjong Bunut telah mengikuti Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) yang berlangsung di Bilik Serbaguna, Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjong Bunut, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara,  Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu.

    Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar serta pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan yang terlibat dalam mengungkayahkan program tersebut.

    Mengetuai peserta dari kampung berkenaan ialah Pemangku Ketua Kampung dan Pengerusi Majlis Perundingan Kampung Tanjong Bunut, Haji Abdul Rahman bin Haji Jumat.

    Pada sebelah pagi, program telah diisikan dengan taklimat mengenai Wawasan Brunei 2035 yang disampaikan oleh wakil Sekretariat Tetap Wawasan Brunei 2035, Pegawai Ekonomi Kanan, Dayang Nur Edzalina binti Haji Idris.

    Para peserta turut mendengarkan taklimat mengenai ‘Undang-Undang Buruh / Kemasukkan Pekerja Asing’ yang disampaikan oleh Pemangku Penolong Pesuruhjaya Buruh, Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh, Awang Mohammad Hazizul bin Hassan.

    Manakala itu, pada sebelah petang, para peserta dibawa melawat Syarikat Hiseaton Fisheries (B) Sdn Bhd, Aquaculture Development Center (ADC) Meragang, Jalan Pantai Meragang di mana mereka mendengarkan taklimat ringkas mengenai syarikat ternakan ikan dalam sangkar di luar pantai itu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Penerangan, program berkenaan bertujuan untuk menyampaikan maklumat rasmi mengenai dasar dan maksud kerajaan melalui sesi taklimat, dialog dan lawatan, agar masyarakat terutamanya di peringkat akar umbi dapat memahami, menyokong dan menghargai usaha-usaha kerajaan dalam sama-sama membangun negara terutamanya dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Selain itu juga untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan memberigakan perkembangan serta usaha-usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat seperti melalui taklimat-taklimat serta lawatan-lawatan serta dapat mengukuhkan jati diri dan menyuntik semangat dalam terus memberikan kerjasama dalam mendukung aspirasi negara.

    Sebahagian peserta yang menghadiri program tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda