Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Projek pertama yang dilaksanakan di Taman Perindustrian Pulau Muara Besar (PMB) iaitu Loji Penapis Minyak dan Petrokimia yang dijangka siap Julai ini dan mula beroperasi hujung tahun 2019, dihasratkan menyumbang kira-kira AS$1.33 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2020.
Di samping itu, ia akan menjana sebanyak 1,665 peluang pekerjaan secara langsung, di mana sekurang-kurangnya 50 peratus akan dikhaskan kepada pekerja-pekerja tempatan pada permulaannya dan seterusnya, akan meningkat kepada 90 peratus pada masa akan datang.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein dalam sembah alu-aluannya sempena keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) ketika berkenan mengadakan lawatan ke Loji Penapis Minyak dan Petrokimia di PMB, hari ini.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny menyembahkan, loji berkeluasan 276 hektar dengan status pembinaannya mencapai 78 peratus dan mempunyai jumlah pelaburan kira-kira AS$3.4 bilion itu akan mula mengeluarkan produk petroleum bagi kegunaan dalam negara dan bagi tujuan eksport, termasuk pengeksportan bahan-bahan penggunaan industri tekstil di luar negara.
Pembangunan loji berkenaan merupakan projek usaha sama Syarikat Hengyi Industries Sdn Bhd iaitu syarikat usaha sama antara Damai Holdings Ltd di bawah Strategic Capital Fund, Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan syarikat pelaburan langsung asing Zhejiang Hengyi Co Ltd dari Republik Rakyat China.


“Pada kemuncak pengoperasiannya, loji ini akan mampu memproses 175 ribu tong minyak mentah sehari, di mana 12 ribu tong minyak adalah bagi keperluan dalam negara. Ini mendukung usaha ke arah negara yang mampu diri, di mana ianya akan menyumbang kepada pembekalan produk petroleum dalam negeri yang mencukupi dan lebih terjamin,”jelasnya.
Projek itu turut menghasilkan limpah kesan ekonomi kepada perusahaan-perusahaan tempatan bagi menampung pembinaan serta pengoperasian loji.
Dalam fasa pembinaan sahaja, sebanyak 82 buah perusahaan tempatan telah dianugerahkan kontrak oleh Syarikat Hengyi Industries Sdn Bhd bagi beberapa perkhidmatan termasuk pembekalan barangan pembinaan, perkhidmatan ukuran pembinaan, logistik, pembekalan produk kimia dan pembersihan.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny menyembahkan, “Komitmen padu yang berterusan di antara kementerian-kementerian, agensi-agensi berkepentingan serta Syarikat Hengyi Industries Sdn Bhd merupakan asas utama bagi menjayakan projek ini.”
Ke arah itu, sebuah jawatankuasa pandu telah ditubuhkan semenjak Julai 2018, yang kini dikenali sebagai Jawatankuasa Pandu Kemajuan Pulau Muara Besar di mana peranannya adalah bagi memastikan pemantauan, perancangan dan pengawalseliaan hal ehwal berhubungan dengan Pulau Muara Besar secara holistik supaya manfaat sosioekonomi daripadanya dimaksimumkan serta hal-ehwal kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE), keselamatan, kesejahteraan pekerja, kedaulatan negara dan imej negara sebagai negara hijau sentiasa dijaga.
Terdahulu dalam sembah alu-aluannya, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny menjelaskan bahawa Taman Perindustrian Pulau Muara Besar merupakan salah satu daripada 10 tapak perindustrian yang dibukakan kepada pelabur langsung asing di bawah pengurusan Darussalam Enterprise.
“Ia mempunyai keluasan 955 hektar sebelum reclamation dan dikhaskan bagi aktiviti-aktiviti minyak dan gas hiliran serta perindustrian marin,” tambahnya.