Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    PMKS pemacu pertumbuhan ekonomi APEC

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan Kementerian Kewangan dan Ekonomi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Ke arah mengenal pasti pelbagai cadangan bernas dalam menyokong perjalanan para pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS) secara mampan menerusi pendidikan dan latihan yang boleh diketengahkan kepada pemimpin-pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) hari ini telah menganjurkan bengkel mengenai pendidikan dan latihan bagi meningkatkan amalan berdaya tahan PMKS.

    Lebih 300 orang dari seluruh Asia Pasifik mendaftar bagi menyertai bengkel secara maya berkenaan yang turut menandakan pelancaran Program Ekonomi Brunei yang bertujuan untuk menghubungkan isu-isu APEC dan ASEAN dengan para stakeholder ekonomi Brunei.

    Hadir bagi menyempurnakan perasmian dan ucaptama pada pelancaran program berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah yang antaranya melahirkan keyakinannya terhadap program berkenaan sebagai platform menyatukan sektor swasta dan awam ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Beliau menambah, program berkenaan juga akan menyokong tumpuan kerajaan Negara Brunei Darussalam terhadap pemulihan, kelestarian dan pendigitalan dengan melibatkan komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa selaras dengan Pelan Tindakan Ekonomi Brunei Darussalam yang bermatlamat untuk mencapai ekonomi yang dinamik dan mampan menjelang 2035.

    “Kepentingan PMKS tidak boleh dipandang remeh. Di rantau APEC, PMKS merangkumi lebih 97 peratus daripada semua perniagaan, menggaji lebih se-paruh tenaga kerja di seluruh ekonomi APEC dan memainkan peranan penting dalam memacu kepelbagaian aktiviti ekonomi,” ujarnya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menyampaikan ucaptama pada pelancaran Program Ekonomi Brunei secara maya kelmarin.
    Antara penceramah yang terlibat dalam sesi perbincangan bengkel anjuran Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), kelmarin.

    Sementara itu, pengerusi, rakan kongsi dan pengasas RM Capital Partners dan ahli ABAC Malaysia, Dato Rohana Mahmood, juga selaku pengerusi ABAC PMKS dan Kumpulan Kerja Inklusif, dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa PMKS sentiasa diiktiraf sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan dalam rantau APEC.

    “Namun semuanya telah berubah dengan COVID. Gangguan yang dicetuskan dalam landskap perniagaan yang meluas telah mengetengahkan kerentanan PMKS kepada kejutan ekonomi yang teruk.

    “Ketika ekonomi-ekonomi mula memasuki Fasa Endemik, adalah penting bagi para pemimpin APEC, menteri-menteri dan penggubal dasar untuk memanfaatkan tempoh peralihan itu sebagai peluang untuk mengembangkan kembali ekonomi mereka,” tambahnya.

    Bengkel yang menampilkan dua perbincangan panel bagi menerokai aspek ‘Pendidikan dan Latihan’ dan ‘Kemahiran bagi Era Digital’ itu menampilkan penceramah-penceramah daripada ABAC dan pakar atau tokoh antarabangsa kanan dari Google, LINE, SGTech, UPS, Darussalam Enterprise (DARe), Bank Baiduri, Bank Pembangunan Asia dan UNESCAP.

    Para peserta juga berkesempatan mendengar perbincangan berkisar bagaimana B20 Indonesia sedang membantu PMKS.

    Program Ekonomi Brunei dihoskan oleh ASEAN dan ABAC Brunei dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Bank Baiduri, Radio Televisyen Brunei (RTB) dan Brunei Press.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...