PMUBD lantik MPP baharu

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN – Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mengadakan Majlis Pembubaran Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2020/2021 dan Pelantikan Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2021/2022 yang berlangsung secara maya melalui aplikasi Microsoft Teams, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UBD, di sini, majlis itu bertujuan untuk memberi penghargaan kepada ahli-ahli MPP sesi 2020/2021 yang telah menabur bakti dan usaha bagi Persatuan Mahasiswa-Mahasiswa Universiti Brunei Darussalam (PMUBD) serta pelantikan ahli-ahli MPP sesi 2021/2022 yang baharu turut dilaksanakan sebagai dorongan kepada mereka untuk menggalas tugas dengan penuh semangat, amanah dan berdedikasi.

Seramai 18 orang ahli baharu MPP bagi sesi 2021/2022 yang terdiri daripada mahasiswa-mahasiswi dari pelbagai fakulti di UBD telah terpilih bagi menerajui kepimpinan pelajar dan selaku penghubung dalam urus tadbir universiti.

Kenyataan menyatakan bahawa hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi merasmikan pembubaran dan pelantikan MPP ialah Penolong Naib Canselor (Korporat dan Pentadbiran) UBD, Hajah Rubiah binti Haji Yacub.

Turut hadir ialah Dekan Pelajar UBD, Awang Saidai bin Haji Hitam; Timbalan Dekan Pelajar UBD, Awang Azwan bin Awang Besar, pegawai dan kakitangan UBD dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar serta barisan ahli-ahli MPP sesi 2020/2021 dan 2021/2022.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah sebelum sesi penyerahan e-sijil penghargaan dan penyerahan e-surat pelantikan secara simbolik diberikan kepada ahli-ahli MPP sesi 2020/2021 dan sesi 2021/2022 melalui kaedah screen sharing secara dalam talian.

Majlis turut menyaksikan ucapan Yang Di-Pertua MPP sesi 2020/2021 oleh Awang Muhammad Alaf bin Haji Redawan dan bacaan ikrar serta ucapan daripada Yang Di-Pertua MPP sesi 2021/2022 iaitu Dayang Nur Qamelya binti Mohd Rafee.

PMUBD telah ditubuhkan pada 1986 dan sejak itu, MPP menjadi payung kepada kelab-kelab dan badan-badan pelajar di universiti tersebut, yang bukan sahaja melaksanakan tugas-tugas perwakilan, malah juga memenuhi keperluan kebajikan, masyarakat, kebudayaan serta sukan dan rekreasi para pelajar.

Majlis Pembubaran Ahli MPP sesi 2020/2021 dan Pelantikan Ahli MPP sesi 2021/2022 yang diadakan secara maya, baru-baru ini.- Gambar serahan UBD