SANDAKAN, 22 Okt – Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sandakan membantah tindakan Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) mengambil alih operasi dua jeti nelayan yang dikendalikan oleh persatuan itu di daerah ini.
Pengerusinya Mohd Shaiful Bahari Muin berkata keputusan dibuat oleh Ko-Nelayan tanpa mengadakan perbincangan dengan pihaknya dan turut menjejaskan sumber pendapatan persatuan itu.
Katanya dakwaan Ko-Nelayan bahawa dua jeti ini iaitu Jeti Harmoni Tenang Bandar Ramai-Ramai dan Jeti Sabah Sea Produce Sdn Bhd tidak beroperasi tidak benar.
“Kedua-dua jeti nelayan ini masih beroperasi cuma tidak dapat menyalurkan minyak petrol dan diesel bersubsidi kepada nelayan disebabkan kegagalan Ko-Nelayan sebagai pemborong.
“Ia berlaku selepas Ko-Nelayan tidak menguruskan pembayaran pengangkutan kepada syarikat minyak yang dilantik menyebabkan syarikat itu tidak menghantar bekalan minyak petrol dan diesel di dua jeti itu,” katanya ketika ditemui selepas demonstrasi aman anggota PNK Sandakan pada Majlis Penyerahan Elaun Sara Hidup Secara Tunai di sini, hari ini.
Demonstrasi membabitkan 1,000 ahli PNK Sandakan itu menggesa kerajaan mengekalkan pemberian elaun sara hidup dan insentif kepada nelayan serta tidak bersetuju keputusan Ko-Nelayan mengambil alih dua jeti nelayan di daerah ini.
Pada Khamis lepas, Pengerusi Ko-Nelayan Awang Ahmad Shah Sahari dipetik berkata koperasi itu akan mengambil alih dan membuka semula sembilan jeti PNK yang telah ditutup lebih setahun di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan.
Mohd Shaiful yang juga Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Negeri Sabah (Pengasah) berkata Ko-Nelayan tidak harus membuat kenyataan itu terburu-buru dan perlu memahami peranan PNK sebagai peruncit mengendalikan penjualan minyak petrol dan diesel kepada nelayan.
Katanya Ko-Nelayan sepatutnya mengadakan perbincangan dengan PNK terlibat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan itu. – Bernama