Pochettino bersemangat

SINGAPURA, 19 JULAI – Pengurus Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino berkata kekalahan pada final Liga Juara-Juara bulan lalu menjadikannya lebih bertekad untuk berjaya selepas menamatkan satu lagi kempen dengan mantap.

Pochettino berkata beliau berminat meneruskan projek ‘lima tahun’ yang telah menyaksikan Tottenham menempatkan diri di kelompok empat teratas Liga Perdana dan akhirnya memasuki stadium baharu selepas beberapa penangguhan.

“Selepas final selesai seperti itu, perasaan tidaklah hebat. Saya bukan mengelakkan masalah. Saya sukakan cabaran besar,” kata pengurus berusia 47 tahun itu kepada wartawan ketika mengimbau kembali tewas 2-0 kepada Liverpool di Madrid.

“Minggu lalu kami mula berlatih dan menantikan musim yang lain.

“Kami masih jauh dari tempat yang kami harapkan, jadi bukan hanya cabaran saya tetapi cabaran setiap orang,” katanya di Singapura menjelang pertemuan menentang Juventus Ahad ini.

Harry Kane (kanan) dan Pochettino ketika menghadiri sidang media di Singapura, kelmarin. – AFP

“Anda perlu menjadi seorang lelaki dan cuba bergerak dari final Liga Juara-juara, mewujudkan suasana keghairahan untuk berjuang demi perkara-perkara yang besar.

“Kami tidak boleh lupa bahawa kami datang dari masa itu untuk membina stadium, pondok dan tempat latihan. Percutian saya sangat sukar, sukar untuk melupakan perlawanan akhir.

“Kami berkongsi tiga minggu yang hebat dan ia adalah suasana terbaik dalam tempoh lima tahun dan memalukan untuk selesai sebegitu. Kami berhak menang, menjadi lebih baik berbanding pasukan hebat seperti Liverpool.”

Pochettino telah dikaitkan dengan beberapa kelab terkemuka di Eropah musim lepas tetapi sekarang kelihatan menjalankan tugas mengikut jadual.

Penyerang England, Harry Kane yang duduk di sebelah Pochettino menyuarakan sentimen keberanian pengurusnya apabila kelab berharap memperbaiki kedudukan keempat selepas memberikan cabaran hebat kepada juara bertahan Manchester City dan juara Eropah Liverpool.

“Kami tahu peluang ada di sana dan itu sesuatu yang perlu kami hadapi sepanjang musim panas,” kata Kane mengenai kekalahan final Liga Juara-Juara.

“Dengan segala-galanya musim lalu, saya fikir kami melakukannya dengan baik. Saya belum menonton perlawanan itu lagi.” – AFP