LONDON, 20 Mac – Mauricio Pochettino berkata dia sentiasa terkejut dengan Dele Alli selepas pemain tengah Tottenham itu membantu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Harry Kane yang mengalami kecederaan.
Kane, penjaring terbanyak kelab itu, tidak dapat beraksi selama enam minggu selepas mengalami kecederaan lutut yang memaksa Pochettino melengkapi semula serangan pasukannya. Pengurus Tottenham telah memilih pemain penyerang dari Korea Selatan, Son Heung-Min untuk menggantikan Kane ketika menentang Southampton, tetapi Christian Eriksen dan Alli yang mencipta gol yang memastikan kemenangan 2-1 dan meneruskan kemenangan kelab di tempat sendiri kepada 10 perlawanan berturut-turut dalam liga ini.
Alli telah menjaringkan gol bagi perlawanan keempat berturut-turut dengan penalti separuh pertama yang diberikan selepas dikasari oleh Steven Davis untuk menjadikan jumlah golnya pada musim ini kepada 17 gol. Dan Pocettino menegaskan pemain antarabangsa England itu sekali lagi memperlihatkan kemampuannya untuk mengisi dalam bahagian berlainan di padang.
“Dele Alli sentiasa boleh memberikan kejutan dan kita tidak dapat menjangkakannya,” kata Pochettino.
“Dia memiliki personaliti dan ciri luar biasa dan semuanya tidak mustahil dengannya. Dia adalah pemain yang gemar berlari ke dalam petak, dia sangat kerap sangat pintar memasuki petak.”
“Di dalam petak dia nampak seperti seorang penyerang kerana dia lebih bijak. Di luar petak dia bermain seperti pemain tengah.”
“Saya telah menyaksikan pemain berusia 17 tahun ini bermain di Milon Keynes sebagai pemain tengah menentang Manchester United. Sentiasa dia boleh memberikan saya kejutan, mungkin satu hari nanti dia boleh bermain seperti penjaga gol atau pemain bek pertahanan atau pemain pertahanan tengah.” – AFP