LONDON, 14 Jan – Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino yakin bahawa rekod jaringan 34 gol dalam satu musim Liga Perdana kini dalam bahaya selepas Harry Kane mencetak dua lagi gol dalam perlawanan menentang Everton di Wembley yang berkesudahan 4-0.
Kane menjaringkan 10 gol dalam enam perlawanan terakhir dalam semua pertandingan sekali gus menjadikan pemegang rekod penjaring dalam Liga Perdana dan selepas perlawanan semalam, penyerang England kini mengumpul 20 gol dan berbaki 15 perlawanan sahaja lagi.
“Harry sangat bagus dan saya mengucapkan tahniah sekali lagi,” kata Pochettino selepas Kane mengatasi rekod Teddy Sherringham yang mengumpul 97 gol untuk kelab utara London itu.
“Dia mampu lakukan apa sahaja kerana mentaliti dan profesionalismenya.
“Dia boleh mencapai apa yang diimpikan kerana usaha keras apabila melakukan tugas. Dia selalu berfikir dan cuba untuk mempertingkatkan dan menjaringkan banyak gol.”

Pochettino menambah: “Apa yang penting ialah, walaupun dia mencetak banyak gol, mentalitinya fokus melakukan untuk pasukan dan ini menyebabkan dia seorang pemain yang istimewa. Dia sering cuba untuk membantu dan bermain dengan baik untuk pasukan.”
Dengan kemenangan semalam, Spurs berjaya mengumpul mata yang sama dengan penghuni nombor empat, Liverpool yang akan berdepan dengan pendahulu Liga Perdana, Manchester City hari ini dan sekali gus merebut untuk menempah slot Liga Juara-juara musim depan.
“Itu adalah cabaran dan matlamat kami untuk layak ke Liga Juara-juara tetapi kami tahu bahawa ia memang sukar untuk beraksi dalam peringkat seperti ini untuk tempoh yang lama,” tambahnya.
Pengurus dari Argentina itu juga memuji Son Heung-Min yang telah menjaringkan gol pembukaan dan membantu Kane untuk mencetak gol.
Bintang Korea Selatan gembira dengan peranan yang diberi musim ini dan berkata: “Saya kini gembira bermain. Saya mahu kekalkan rekod jaringan tetapi kami semua beraksi dengan baik, bukan saja saya.
“Ia sangat mustahil untuk mengatasi Harry. Dia merupakan salah seorang penyerang terbaik. Dia berkerja keras untuk pasukan. Dia lebih muda dari saya tetapi saya belajar daripadanya.”
Sementara Spurs mengekalkan rekod yang memberangsangkan ketika ini, Everton mengalami kekalahan terbesar di bawah kendalian pengurus baru Sam Allardyce.
“Hari ini Everton tidak konsisten,” kata Allardyce. “Minggu lepas, kami tidak bernasib baik kerana tewas di Liverpool dalam lima minit terakhir dan minggu ini kami dibelasah dalam separuh masa kedua.
“Saya perlu melakukan sesuatu. Saya tidak menjangkakan ianya akan berlaku. Saya menyaksikannya dan sekarang saya perlu melakukannya secepat mungkin.
“Aksi yang mengejutkan dalam separuh masa kedua. Saya menyaksikan pemain yang bagus minggu lepas dan saya menyaksikan pasukan terburuk dalam separuh masa kedua hari ini, di mana ia sangat membimbangkan. – AFP