Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Pochettino kritik keputusan pengadil

    MADRID, 10 MAC – Pengendali Paris Saint-Germain Mauricio Pochettino berkata keputusan pengadil ketika gol pertama Karim Benzema untuk Real Madrid pada aksi 16 terakhir Liga Juara-Juara itu menjadi punca kekalahan pasukannya.

    Gergasi Perancis itu sedang mendahului 2-0 secara agregat apabila Benzema menjaringkan gol pertama untuk hatriknya pada minit ke-61 aksi di Santiago Bernabeu dan akhirnya tewas 3-2 secara agregat.

    Pochettino berang apabila pengadil tidak memberikan sepakan percuma kepada PSG selepas Benzema mengasari penjaga golnya Gianluigi Donnarumma.

    “Menerangkan apa yang berlaku cukup mudah.

    “Ada kekasaran ke atas Donnarumma ketika gol pertama, dan ia mengubah segalanya.

    Aksi Gianluigi Donnaruma melompat menyelamatkan bola semasa perlawanan di antara Real Madrid dan Paris Saint-Germain di stadium Santiago Bernabeu di Madrid pada 9 Mac 2022. – AFP

    “Sukar untuk tidak membicarakan kesilapan besar pengadil ini, sesuatu yang saya tidak faham dan saya tidak akan maafkan.

    “Saya tidak faham kenapa pengadil tidak mahu merujuk kepada VAR. Selepas itu suasana di stadium berubah. Pemain-pemain kami kecewa, walaupun kami perlu akui kami juga melakukan kesilapan,” kata Pochettino.

    Penyerang Perancis Benzema bagaimanapun yakin dia tidak melakukan sebarang kesalahan ketika dia mengasak Donnarumma untuk gol pertamanya.

    “Tidak langsung. Saya mengasaknya, dia menanti dan kemudian dia kehilangan bola,” kata Benzema yang kemudian melengkapkan hatrik pada minit ke-76 dan 78.

    PSG masih memburu gelaran Liga Juara-Juara Eropah pertama mereka. Kedudukan Pochettino kini bakal dipersoalkan walaupun dalam saingan Ligue 1, mereka mendahului dengan kelebihan 13 mata.

    PSG dikatakan mampu mengakhiri kekecewaan di peringkat Eropah apabila membawa masuk nama-nama besar seperti Lionel Messi, Achraf Hakimi, Donnarumma dan Sergio Ramos. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...