LONDON, 13 Jan – Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino telah mencabar para pemainnya untuk mendemonstrasi kematangan mereka apabila mereka berdepan dengan West Bromwich Albion Sabtu ini selepas kemenangan hebat mereka ke atas pendahulu Liga Perdana, Chelsea.
Skuad Pochettino telah mengakhiri 13 kemenangan berturut-turut Chelsea, dan telah melonjak ke tangga ketiga, tujuh mata di belakang Chelsea.
Kemenangan Piala FA ke atas Aston Villa minggu lepas telah memastikan mereka mengekalkan momentum, tetapi Pochettino tahu bahawa ujian sebenar pasukannya sebagai pesaing kejuaraan terbukti dalam kemenangan ke atas Chelsea.
Awal musim ini, Spurs telah menewaskan Manchester City dengan jaringan 2-0 dan kemudian melalui empat perlawanan liga tanpa kemenangan. Pochettino memberi amaran bahawa ia tidak akan berulang.
“Kemenangan Chelsea adalah penting, tetapi masih ingat dengan City beberapa bulan yang lalu?” kata pengurus Spurs tersebut.
“Saya fikir sekarang adalah masanya untuk membuktikan bahawa kami sudah mempelajarinya. Beberapa perlawanan sukar berada di depan kami dan kami perlu menunjukkan bahawa kami sudah mempelajari pengalaman kami beberapa bulan lalu. “Jika anda masih ingat, prestasi kami jatuh sedikit selepas satu kemenangan hebat.
“Kini adalah peluang terbaik untuk membuktikan bahawa kami selayaknya menang dan mengekalkan momentum adalah menjadi keutamaan.” – AFP
































