HUDDERSFIELD, 1 Okt – Mauricio Pochettino mengakui bahawa pasukannya sudah hilang cara untuk menjelaskan Harry Kane selepas penyerang Spurs itu menjadi inspirasi kemenangan 4-0 ke atas Huddersfield.
Kane menjaringkan dua gol di Stadium John Smith semalam ketika skuad Pochettino meneruskan tekanan ke atas pasukan pendahulu Liga Perdana.
Penyerang antarabangsa England itu menjadi nadi utama kemenangan Tottenham dan dia kekal menjadi penyerang berbisa dalam bola sepak Eropah ketika ini, dengan dua jaringannya itu menjadikan 13 gol dalam lapan perlawanan terakhirnya.
Ben Davies dan Moussa Sissoko juga menemui sasaran bagi Tottenham, tetapi tidak dapat disangkal behawa Kane adalah pemain terbaik perlawanan dan bahkan para penyokong pasukan Huddersfield memberikan sorakan kepadanya ketika dia digantikan di hujung perlawanan.
Kane kini sudah menjaringkan 84 gol dalam Liga Perdana, jumlah yang sama dengan bekas bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo.
Namun perbezaannya adalah Kane melakukannya dalam tiga musim, manakala Ronaldo memerlukan enam musim, tetapi Pochettino belum bersedia melabel penyerangnya itu setandingan dengan bintang Real Madrid itu. – AFP