LONDON, 13 Okt – Mauricio Pochettino mengakui Tottenham Hotspur tidak mampu bersaing dengan dua kelab Manchester yang kini berada di kedudukan teratas Liga Perdana, dalam pasaran perpindahan.
Skuad bimbingan Pochettino yang bergelut untuk mengatasi Bournemouth di Wembley, Sabtu lalu kini berharap untuk merapatkan jurang lima mata di belakang Manchester City dan United yang berkongsi tangga pendahulu.
Kedua-dua kelab Manchester itu berbelanja besar ketika jendela perpindahan dan Pochettino mengakui kekuatan kewangan City dan United yang menyaksikan pasukan seperti Tottenham terpaksa menggunakan strategi berbeza untuk bersaing ketika jendela perpindahan.
“Perbezaan di antara kelab di Liga Perdana ketika ini adalah kelab seperti City dan United yang menandatangani pemain yang mereka mahukan dan bila mereka mahukan.
“Kemudian ada pasukan yang besar, seperti kami, yang hanya menandatangani pemain apabila kami boleh dan bila kamu boleh. Ia adalah perbezaan yang besar pada hari ini,” katanya kepada BeIN Sports.
Tottenham mengharungi rehat antarabangsa dengan mengekalkan rekod dalam kempen liga dengan kemenangan di Huddersfield Town.
Tetapi di gelanggang sementara Wembley, skuad bimbingan Pochettino terus bergelut dan hanya mengutip dua mata daripada tiga aksi di Liga Perdana setakat ini. Sebarang keputusan selain kemenangan ke atas Bournemouth, yang ketika ini menghuni tangga kedua tercorot liga, dianggap sebagai kekecewaan besar.
Pochettino pasti berharap penyerang berbisanya, Harry Kane untuk terus menembusi gawang pasukan lawan.
Penyerang England yang tersenarai bagi anugerah Ballon d’Or minggu ini sudah menjaringkan 15 gol daripada 10 perlawanan terakhir untuk kelab dan negara.
Ia termasuk ketika England menang 1-0 ke atas Slovenia dan Lithuania dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018, baru-baru ini. – AFP