Pochettino tak buat perubahan

LONDON, 18 OKT – Mauricio Pochettino (gambar bawah) tidak akan membuat perubahan besar di Tottenham pada jendela perpindahan Januari ini meskipun permulaan musim keenamnya bersama Spurs tidak memberangsangkan.

Spurs hanya menang tiga daripada 11 perlawanan pembukaan dalam semua pertandingan, tersingkir daripada Piala Liga selepas tewas kepada pasukan peringkat keempat Colchester dan kalah 7-2 di laman sendiri kepada Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara.

Permulaan kurang bergaya Spurs musim ini mencetuskan kecurigaan bahawa skuad semasa Tottenham tidak berkembang dengan sedikit pergerakan di pasaran perpindahan sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, Pochettino mengekalkan kepercayaan kepada pemain yang membantu kelab membuat kemajuan besar dalam tempoh lima tahun yang lalu selepas berjaya ke final Liga Juara-Juara Jun lalu.

“Saya tidak percaya akan ada sebarang penandatanganan,” kata Pochettino pada Khamis. “Saya percaya pada pemain yang kami ada dan saya tahu mereka mempunyai kualiti.

“Hanya perlu meleraikan beberapa situasi yang buntu di dalam fikiran mereka. Saya tahu kami mempunyai kualiti untuk memperjuangkan perkara yang kami harapkan.”

Pochettino menerima dua tamparan hebat apabila tewas 3-0 kepada Brighton sebelum rehat antarabangsa dan kapten Hugo Lloris terkehel siku sekali gus menghalangnya daripada beraksi pada baki masa tahun ini. – AFP