Pochettino tak minat ke United

MANCHESTER, 24 NOV – Mauricio Pochettino menjelaskan dia gembira untuk menamatkan kontraknya hingga 2023 di Paris Saint-Germain walaupun timbul spekulasi mengaitkan dirinya dengan jawatan pengurus di Manchester United.

Pengendali dari Argentina itu sudah lama dikaitkan dengan tugas di Old Trafford selepas berjaya membimbing pasukan dengan bajet rendah diberikan kepadanya selama enam musim dalam Liga Perdana di Southampton dan Tottenham.

United memecat Solskjaer Ahad lalu selepas hanya menang sekali dalam tujuh aksi Liga Perdana namun menegaskan mereka mahu menanti hingga penghujung musim sebelum menamakan pengganti.

Ia nampaknya membuka pintu untuk perpindahan Pochettino, yang masih berada di landasan tepat untuk memenangi gelaran liga pertama sepanjang kerjaya kejurulatihannya apabila mencipta jurang 11 mata di Ligue 1.

Malah dia berazam membawa kelab dimiliki Qatar itu memenangi Liga Juara-Juara selepas diperkuatkan bintang penyerang yang diketuai Lionel Messi, Kylian Mbappe dan Neymar.

Pochettino berada di Manchester minggu ini tetapi akan ke Manchester City apabila PSG memburu tempat ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara jika menang di Etihad.

“Kontrak saya hingga 2023, musim ini dan satu musim lagi. Saya tidak berkata sesuatu yang berbeza, saya gembira di PSG, itulah sebenarnya, ia bukan perkara untuk difikirkan. Saya gembira di Paris,” kata Pochettino.

“Saya sangat gembira di PSG dan fokus untuk melakukan apa yang kami perlu lakukan. Saya sayangkan kelab, saya sayangkan penyokong, kami bertarung dengan jurang 11 mata dalam Ligue 1 dan kami bersaing untuk layak dalam Liga Juara-Juara. Itu keutamaan saya dan tanggungjawab saya.” – AFP

Ketua jurulatih MauricioPochettino (kanan) bercakap dengan penyerang Paris Saint-GermainKylianMbappe semasa perlawanan L1 Perancis di antara PSG dan FC Nantes di Stadium TheParcdesPrinces di Paris pada 20 November. – AFP