Pochettino tidak suka VAR

LONDON, 9 Jan- Ketua jurulatih pasukan Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettini berkata dia ‘tidak suka’’ melihat pasukannya menewaskan Chelsea 1-0 dalam perlawanan separuh akhir pusingan pertama saingan Piala Liga Inggeris menerusi sepakan penalti yang dipertikaikan melalui video bantuan pengadil (VAR).

Harry Kane menjaringkan satu-satunya gol buat kelab London itu di Wembley pada minit ke-26 menerusi sepakan penalti yang diberikan apabila pengadil, Michael Oliver memerlukan bantuan teknologi video itu.

Chelsea yakin Kane berada di kedudukan ofsaid sebelum meluru ke dalam kotak penalti, apabila dia dijatuhkan oleh Kepa Arrizabalaga tatkala penjaga gol Blues itu keluar dari garisan.

Ia memerlukan lebih 90 saat bagi VAR untuk mengesahkan Kane berada dalam kedudukan tepat sebelum pengadil perlawanan Oliver memberikan sepakan penalti.

“Saya tidak suka dengan VAR. Hari ini kita meraih manfaatnya namun selepas menyaksikan Piala Dunia dan liga lain seperti La Liga, saya melihat tidak seorang pun gembira bermula hari pertama mereka menggunakannya,” kata Pochettino kepada Sky Sports.

“Untuk mendapatkan manfaat adalah bagus tetapi saya tidak gembira memenangi perlawanan seperti ini,” tambahnya.

“Saya suka teknologi tetapi dengan cara yang berbeza. Dengan lebih jelas, saya adalah pro teknologi kerana anda tidak dapat menghentikan kemajuan tetapi kita perlu menunggu terlalu lama dan peraturannya tidak jelas.

“Kita semua perlu akui, para pemain, kakitangan kejurulatihan, saya menyaksikan La Liga setiap minggu dan tiada seorang pun gembira, sama ada kelab besar atau kecil.

“Ia adalah satu contoh yang bagus bagi kami. Kita hanya mempunyai tempoh enam bulan untuk memperbaiki sistem tersebut dan masih banyak tugasan yang perlu dilakukan.” – AFP

Harry Kane dijatuhkan oleh Kepa Arrizabalaga pada pertemuan yang berlangsung di Stadium Wembley, London, kelmarin. – AP