Podcast dedah penjenayah kejam

SYDNEY, 5 Dis – Seorang lelaki Australia yang kehidupannya didedahkan dalam podcast misteri jenayah popular tentang kehilangan isterinya hampir 40 tahun lalu telah diberkas hari ini.

Bekas pemain liga gred pertama ragbi, Chris Dawson, 70 tahun dijangka didakwa atas tuduhan membunuh bekas isterinya, Lynette, yang hilang di pantai utara Sydney dalam tahun 1982, menurut pihak berkuasa.

Mayat ibu kepada dua orang anak itu tidak pernah dijumpai. Dawson menafikan dia membunuh isterinya dan berkata wanita itu telah meninggalkan rumah ketika kehilangannya untuk bersendirian.

Kes kejam itu menjadi tajuk podcast popular ‘The Teacher’s Pet’ yang membutirkan tentang perkahwinan yang bermasalah yang membawa kepada kehilangan dan meneliti kekurangan respons pihak polis.

Poscast hasil kerja para wartawan surat khabar The Australian itu telah didengari kira-kira 27 juta orang di seluruh dunia, menurut akhbar itu.

Inkues dalam 2003 mendapati Chris Dawson, bekas guru sekolah tinggi telah mula menjalani hubungan dengan seorang pelajar berusia 16 tahun yang berpindah rumah untuk tinggal bersamanya dalam tempoh beberapa hari kehilangan isterinya. Pihak polis dikritik kerana tidak menyiasat dengan teratur kes kehilangan itu.

Pesuruhjaya polis New South Wales Mick Fuller yang baru-baru ini memohon maaf di atas kegagalan pihak polis dalam kes itu dalam tahun 1980an, berkata para penyiasat telah menyiasat semula kes kehilangan itu tiga tahun lalu dan ‘bukti baharu’ telah membawa kepada penahanan Dawson.

“Maklumat itu membolehkan polis mendapatkan waran tangkap bagi lelaki berusia 70 tahun itu yang pada masa ini tinggal di Queensland,” Fuller memberitahu pemberita hari ini.

Fuller mengakui bahawa laporan media telah menyumbang kepada pihak polis dalam mendapatkan kenyataan tambahan berkaitan kes itu. – AFP

SAHAM
TerdahuluRalat
SeterusnyaSatu lagi kematian akibat rabies