Monday, July 14, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pogba, Ibra wira Man United

    BLACKBURN, 20 Feb – Paul Pogba dan Zlatan Ibrahimovic bergandingan bagi menjaringkan gol kemenangan perlawanan bagi membawa Manchester United mara ke suku akhir Piala FA selepas menang 2-1 ke atas Blackburn Rovers.

    United akan berdepan dengan Chelsea dalam persaingan suku akhir di Stamford Bridge bulan depan, dan kemenangan akan mengekalkan pasukan Jose Mourinho dalam empat persaingan kejuaraan musim ini.

    Juara bertahan Piala FA itu berdepan dengan prospek perlawanan ulangan selepas Marcus Rashford menjaringkan gol penyamaan bagi membatalkan gol pembukaan perlawanan yang dihasilkan oleh Danny Graham bagi pasukan Championship itu. Dengan perlawanan masih terikat 1-1, Mourinho memilih untuk menurunkan dua pemain berprofil tingginya di awal separuh masa kedua.

    Di minit ke-75, pertaruhannya menjadi apabila Pogba membuat hantaran jauh menemui Ibrahimovic yang berjaya melepasi perangkap ofsaid.

    Larian tepat melepasi ofsaid penyerang Sweden itu menyaksikan dia merembat masuk bola ke sudut bawah bagi jaringannya ke-24 musim ini.

    Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba ketika beraksi menentang Blackburn Rovers dalam aksi Piala FA awal pagi tadi. – AP
    Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba ketika beraksi menentang Blackburn Rovers dalam aksi Piala FA awal pagi tadi. – AP

    Namun di minit-minit akhir, Rovers hampir menjaringkan gol penyamaan dramatik selepas Sergio Romero gagal mendakap kemas rembatan Connor Mahoney, kemudian menampan bola yang melantun kepada Marvin Emnes dan akhirnya menyaksikan gol Anthony Stokes dibatalkan kerana ofsaid.

    Di awal perlawanan, Blackburn mendapat pendahuluan melalui gerakan menarik di minit ke-17.

    Emnes merupakan arkitek bagi gol pembukaan itu dengan membuat larian dan gerakan bertenaga melepasi Marcos Rojo sebelum dia membuat hantaran bijak kepada Graham, yang menewaskan Romero dengan rembatan kencang kaki kiri.

    Ia adalah gol pertama yang dibolosi United dalam tempoh 471 minit dalam bola sepak liga dan piala. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda