Pogba ke Juventus?

MILAN, 11 Okt – Manchester United diselubungi masalah dan peminat juara Itali, Juventus boleh mula bermimpi untuk mendapatkan semula bekas bintang kelab itu, Paul Pogba, kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

“Manchester United berdepan masalah ketika ini. Pogba masih sama dan salah seorang pemain tengah terbaik dunia,” kata Deschamps kepada akhbar Itali, Gazzetta Dello Sport mengenai hubungan dingin Pogba dan bos United, Jose Mourinho.

“Bagaimanapun, saya tidak akan memberi komen mengenai hubungan pemain dan jurulatih.”

Pogba dikaitkan dengan kepulangan semula ke Juventus, kelab yang disertainya dengan yuran perpindahan secara percuma pada 2012 selepas meninggalkan Old Trafford apabila United gagal mengikatnya dengan kontrak baharu.

Dia kembali ke United pada 2016 melalui kontrak selama lima tahun dengan yuran yang ketika itu memecah rekod dunia, 105 juta euro.

Justeru, Deschamps berkata prospek untuk Pogba sekali lagi meninggalkan United dan menyertai Juventus bukan mustahil.

“Impian adalah sebahagian daripada kehidupan,” kata Deschamps yang membimbing Perancis menjuarai Piala Dunia di Rusia.

“Mungkin peminat tidak bermimpi mengenai Cristiano Ronaldo, yang akhirnya bermain bersama mereka. Kadang-kala mimpi jadi kenyataan, tetapi berbanding beberapa tahun lalu ia akan mengakibatkan Juventus mengeluarkan banyak wang untuk mendapatkan Pogba ketika ini.”

Deschamps pernah mengendalikan Juventus pada pertengahan 2000 selepas kelab itu diturunkan pangkat daripada Serie A susulan skandal mengatur perlawanan dan pernah beraksi bersama mereka selama lima tahun sehingga 1999. – AFP

Pogba ketika sesi pemanasan badan sebelum memulakan perlawanan menentang Newcastle di Old Trafford
pada 6 Oktober lalu. – AP
SAHAM
TerdahuluPerlu Bekerjasama
SeterusnyaAlcacer tonjol kehebatan