Pogba kekal – Solskjaer

PERTH, 10 JULAI – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, hari ini, menepis spekulasi bahawa Paul Pogba akan meninggalkan Old Trafford, dengan menyatakan bahawa ‘tiada bidaan diterima’ setakat ini bagi pemain tengah itu dan ‘hanya perbualan ejen-ejen’.

Masa depan pemenang Piala Dunia berusia 26 tahun itu telah membayangi jelajah pra-musim United sejak mereka tiba di Perth pada Isnin, dengan Real Madrid dan Juventus dikhabarkan menjadi destinasinya.

Mino Raiola, ejen Pogba, memberitahu stesen radio UK, talkSPORT, bahawa “semua orang tahu kemahuan Paul untuk pergi.” Tetapi Solskjaer berkata ‘semua itu perkara biasa’ dan memberi amaran bahawa kelab tidak tertekan untuk melepaskan Pogba, atau sesiapa sahaja.

“Tiada bidaan untuk pemain-pemain kami. Semuanya hanya perbualan ejen-ejen. Kami adalah Manchester United, kami tidak perlu jual pemain,” katanya pada satu sidang media selepas latihan menjelang perlawanan di Bandar Western Australia menentang Perth Glory hujung minggu ini dan menghadapi Leed United pada Selasa depan.

Kelmarin, satu video di media sosial menunjukkan Pogba dan rakan sepasukannya, Jesse Lingard berbalah, namun Solskjaer berkata tiada perbalahan berlaku dan bintang Perancis itu dilayan dengan tidak adil oleh media. – AFP

Bos United, Solskjaer (kiri) berjabat tangan dengan Pogba semasa perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona pada 16 April 2019. – AP