Tuesday, October 8, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pogba kritik strategi Mourinho

    LONDON, 25 Sept – Paul Pogba mengkritik tajam taktik defensif Manchester United dalam perlawanan yang berkesudahan seri ketika menentang Wolverhampton Wanderers, Sabtu lalu, yang dilihat membangkitkan kemarahan pengendali The Red Devils, Jose Mourinho.

    Pemain tengah Perancis berusia 25 tahun itu berkata tidak ada alasan untuk tidak melakukan serangan dalam perlawanan di laman sendiri.

    Keputusan seri itu, yang hadir di depan bekas pengurus legenda, Alex Ferguson yang membuat kemunculan pertama sejak menjalani pembedahan otak Mei lalu, telah meletakkan United di tangga ketujuh, lapan mata di belakang pendahulu Liverpool.

    “Kami bermain di laman sendiri dan kami seharusnya beraksi lebih baik menentang Wolves. Kami berada di sini untuk melakukan serangan,” Pogba memberitahu media selepas perlawanan berakhir.

    “Apabila kami beraksi seperti itu, ia mudah untuk kami.”

    Aksi Pogba (tengah) ketika menentang pemain Wolverhampton Wanderers di Old Trafford pada 22 September lalu. – AFP

    Ditanya apa yang menghalang United dari melakukan lebih banyak serangan, Pogba berkata; “Saya tidak dapat memberitahu anda kerana saya adalah seorang pemain. Ia bukan terletak di tangan saya.”

    Kritikan Pogba itu muncul sejurus dia dan Mourinho meredakan hubungan mereka, di mana pengurus Portugal itu Jumaat lalu berkata kejayaan di Piala Dunia membuatkan Pogba beraksi dengan lebih baik.

    Pogba, yang tidak memenuhi jangkaan sejak perpindahannya yang mencatatkan rekod dunia AS$116 juta dari Juventus pada 2016, berang dengan ulasan Mourinho Julai lalu bahawa dia beraksi lebih baik pada Piala Dunia kerana dia tidak dikelilingi oleh barisan pengiringnya.

    “Saya berpendapat pasukan takut apabila mereka melihat Manchester United melakukan serangan demi serangan. Ia adalah kesilapan kami,” kata Pogba.

    “Mungkin sikap itu seharusnya lebih baik dan kami sepatutnya beraksi lebih baik kerana kami berada di Old Trafford dan seharusnya melakukan serangan dan tekanan seperti yang kami lakukan ke atas Tottenham, Liverpool, Chelsea dan Arsenal pada musim lalu.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda