Pogba lonjak United

MANCHESTER, 14 April – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui pasukannya bernasib baik untuk menyambar kemenangan 2-1 ke atas West Ham malam tadi hasil ‘ihsan’ dua gol penalti Paul Pogba.

United tumpas empat daripada lima aksi terakhir semua pertandingan dan bakal berdepan satu lagi tamparan dalam usaha mereka memburu penamat empat terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ini selepas satu gol West Ham dibatalkan kerana ofsaid, percubaan terkena palang selain penjaga gol David de Gea melakukan satu usaha menyelamat yang hebat untuk menafikan percubaan Michail Antonio.

“Mereka beraksi lebih baik daripada kami, itu adalah kebenarannya, saya tidak fikir semua akan bersetuju,” kata Solskjaer.

“Kadang kala kami tewas ketika sepatutnya kami menang, jadi sepanjang musim keputusan ini akan berlaku.”

Pengendali dari Norway itu meletakkan Marcus Rashford dan Scott McTominay di bangku simpanan dalam lima pertukaran yang dibuatnya berbanding skuad yang tunduk 1-0 kepada Barcelona dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara, Khamis lalu.

Solskjaer turut rmengakui rombakan itu sebagai persiapan berdepan Barca dalam aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Nou Camp, Rabu ini yang secara tidak langsung mempengaruhi pemilihan pemainnya. – AFP

Pogba menjaringkan gol kedua pasukannya dari tempat penalti melepasi penjaga gawang West Ham, Lukasz Fabianski, semasa perlawanan menentang West Ham United di Old Trafford pada awal kelmarin. – AP