Pogba menyinar, United benam Leeds

PERTH, 18 JULAI – Pogba menyinar ketika Manchester United bangkit dalam aksi pra-musim dengan membelasah Leeds 4-0, hari ini, selepas Red Devils berdepan kritikan gara-gara menang kurang bergaya 2-0 ke atas Perth Glory, hujung minggu lepas.

Red Devils secara klinikal menghancurkan perancangan Leeds yang menaruh harapan tinggi untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris buat kali pertama sejak 2004.

Pogba, yang dikaitkan dengan perpindahan ke Juventus dan Real Madrid, membintangi separuh pertama United dan merupakan sebahagian daripada rantaian cantik untuk gol senior pertama Mason Greenwood,17, pada minit ketujuh. Persembahan bertenaga Greenwood menjadikan remaja itu mendapat tempat di hati pengurus Ole Gunnar Solskjaer untuk aksi pembukaan liga menentang Chelsea pada 11 Ogos nanti.

“Dia ada peluang. Dia lebih daripada mampu dan sentiasa ada di sana dan sekitar kotak untuk mencipta peluang,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Beberapa saat kemudian, rembatan kencang Pogba dapat diselamatkan penjaga gol Kiko Casilla tetapi beberapa saat kemudian United menggandakan kedudukan pada minit ke-27 dengan jaringan Marcus Rashford.

Selepas berjaya melepasi benteng utama, pemain berusia 21 tahun itu berjaya membolosi Casilla masa.

Solskjaer merombak seluruh barisan kesebelasannya menentang Perth pada separuh masa. United terus di depan dengan Phil Jones menemui peluang melalui tandukan dari sepakan sudut pada minit ke-51.

Anthony Martial pula membuktikan prestasi cemerlangnya pada minit ke-68 dengan menyempurnakan sepakan penalti selepas Tahith Chong dijatuhkan dalam kotak. – AFP

Pogba ketika beraksi menentang Perth Glory pada 13 Julai lalu. – AP